KEMELUT pengurusan yang dialami Kelantan FC sejak awal musim lalu mengakibatkan kelab Pantai Timur berkenaan berdepan masalah lebih besar.
Pemergian pemain, staf kejurulatihan serta watak di sebalik tabir memulakan episod-episod gelap buat mereka sehingga sukar diterima penyokong bola sepak tempatan.
Tidak lama selepas itu, pemilik kelab, Norizam Tukiman pula menerima kesan daripada isu-isu tersebut apabila pelbagai pendedahan dibuat beberapa pihak.
Bekas ketua jurulatih, Choi Moon-sik merupakan antara yang terawal mendedahkan masalah dalaman kelab dengan pengendali dari Korea Selatan itu mengatakan kebajikan pemain tidak dijaga.
Norizam dikatakan gagal menjaga kebajikan pemain serta staf kejurulatihan TRW. — Facebook/TRW Kelantan FC
Perkara itu kemudiannya disahkan beberapa individu kepada pihak media, termasuk bekas penjaga gawang, Farhan Abu Bakar yang menceritkan kisah gelap di sebalik skuad The Red Warriors (TRW).
Kini, sebuah lagi hal melanda Kelantan FC apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan sekatan perpindahan buat naib juara Liga Perdana 2022 itu.
Hal itu dikatakan berpunca daripada kegagalan pihak pengurusan untuk melunaskan bayaran gaji pada waktunya selain isu dalaman yang terus dibongkarkan.
Perkara tersebut pada awalnya hanya dikatakan sebagai khabar angin, namun ia sudah disahkan sendiri oleh Norizam dalam satu hantaran di Facebook peribadinya pada Ahad.
Walaupun tidak mengesahkan hukuman tersebut secara jelas, usahawan kelahiran Johor itu menegaskan bahawa pihaknya akan mencari solusi terbaik.
Namun, dengan FAM tampak tegas terhadap skuad TRW ketika ini, terdapat kemungkinan rayuan yang dibuat tidak akan didengari, sekali gus memberi impak lebih mendalam buat mereka.
Jadi, dengan musim 2023 masih panjang, ada tiga pendekatan terbaik yang boleh diambil pihak pengurusan Kelantan FC bagi menyelamatkan nasib kelab.
1. Memberikan kepercayaan penuh buat pemain muda
Sebelum ini, ura-ura mengatakan bahawa hanya terdapat 13 pemain senior yang menghadiri sesi latihan sebelum aksi menentang Sri Pahang FC.
Perkara berkenaan akhirnya disahkan apabila Kelantan FC dibarisi skuad muda ketika berdepan seteru Pantai Timur mereka yang berkesudahan dengan kekalahan memalukan.
Bagaimanapun, masih terdapat beberapa wajah yang mencuri perhatian dalam pertembungan berkenaan meskipun tewas dengan keputusan 1-5.
Khala'if Naskam, Harith Akif dan Afif Jazimin merupakan antara pemain muda yang dipertaruhkan Frank Bernhardt dengan ia merupakan penampilan pertama masing-masing dalam Liga Super.
Meskipun tidak menawarkan perubahan ketara, kesungguhan yang dipamerkan sedikit sebanyak memberi kelegaan buat pengikut setia skuad TRW dalam aksi berkenaan.
Fazrul Amir (kiri) dan Muhaimin boleh dianggap sebagai tonggak skuad TRW ketika ini. — Facebook/TRW Kelantan FC
Selain itu, kualiti konsisten daripada Muhaimin Izzudin dan Fazrul Amir Zaman turut memberikan satu gambaran bahawa Kelantan FC boleh memberikan kepercayaan penuh buat mereka.
Oleh itu, dengan ketiadaan hampir keseluruhan skuad utama, ketua jurulatih baharu, Alfredo Vera terpaksa melakukan percaturan berbeza.
Pendekatan tersebut boleh dibuat ketika aksi Liga Super selepas ini berdepan Penang FC di tempat lawan dengan harapan mereka boleh menamatkan rentetan kekalahan yang dialami.
2. Perbaiki hubungan dengan penyokong
Salah satu hal berbangkit buat Kelantan FC musim ini adalah ketika mereka memberikan sekatan terhadap penyokong yang hadir di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
Tindakan berkenaan diambil ketika aksi Liga Super menentang Perak FC pada 28 April yang jelas mengakibatkan rasa kurang senang, termasuk daripada peminat bola sepak negara secara keseluruhannya.
Ia mengakibatkan jumlah penonton hadir ketika aksi di laman sendiri menyusut, sekali gus memberi kesan terhadap jumlah kutipan jualan tiket buat kelab.
Seperti mana yang diketahui, penyokong Kelantan FC boleh dianggap sebagai 'tulang belakang' pasukan walaupun mereka pernah berada di dalam jurang gelap bola sepak tanah air.
Penyokong boleh dianggap sebagai tulang belakang skuad TRW. — Facebook/TRW Kelantan FC
Namun, selepas sekatan itu dibuat, ia memberi kesan mendalam dengan pelbagai pihak, termasuk pemerhati yang mengkritik pendirian pihak pengurusan.
Jadi, sekiranya kelab Pantai Timur itu berhasrat untuk mengubah nasib mereka, hubungan dengan penyokong perlu ditambah baik dengan cara-cara terbaik.
Di samping memberikan potongan harga tiket seperti dilakukan semasa aksi dengan Sri Pahang FC sebelum ini, mereka juga boleh mengadakan sesi perbincangan.
Hal itu sedikit sebanyak mampu memberikan penjelasan mengenai situasi sebenar pasukan selain dapat mencetuskan kepercayaan antara kedua-dua pihak.
3. Tingkatkan mutu latihan untuk elak kecederaan
Selain membawa masuk Alfredo Vera sebagai pengendali baharu, skuad TRW turut mengumumkan kehadiran jurulatih kecergasan bagi meningkatkan kualiti skuad.
Perkara itu diumumkan Norizam menerusi satu video yang dimuat naik dalam Facebook peribadinya dengan individu tersebut kurang dikenali.
Bagaimanapun, langkah tersebut boleh dianggap sebagai salah satu cara terbaik untuk membantu skuad TRW daripada terus dibelenggu dengan masalah kecergasan.
Meskipun pendekatan jurulatih itu tidak diketahui umum, kehadirannya sedikit sebanyak mampu mengelakkan isu kecederaan daripada terus dihadapi pemain.
Alfredo Vera (kanan) diumumkan sebagai pengendali baharu skuad TRW. — Facebook/TRW Kelantan FC
Ketika ini, Kelantan FC sudah kehilangan pemain tengah, Ikhwan Yazek yang dijangka tidak dapat diturunkan untuk baki musim 2023.
Hal itu sendiri sudah memberikan satu impak mendalam buat pasukan Pantai Timur itu, lebih-lebih lagi apabila saiz skuad semakin mengecil.
Jadi, pihak pengurusan perlu memberikan penekanan terhadap aspek kecergasan bagi memastikan isu ketiadaan pemain terus membelenggu pasukan.
Bagaimanapun, dengan mata-mata penting terus diburu, adakah hal kecergasan akan ditekankan Vera serta barisan jurulatihnya bagi mengubah nasib pasukan? — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram