Kini terperosok 4 terbawah liga, jangan tak tahu Perak FC pernah ‘cucuk rapat’ JDT


  • Podium
  • Isnin, 26 Jun 2023

Durakovic juga membawa Perak FC memenangi Piala Malaysia pada 2018. — Bernama

PUSINGAN pertama Liga Malaysia (Liga M) menunjukkan Perak FC masih berada di tahap yang kurang memuaskan dengan hanya merekodkan dua kemenangan sepanjang 15 perlawanan setakat ini.

Kekalahan demi kekalahan terpaksa ditanggung skuad The Bos Gaurus (TBG) sehingga penyokong Perak seperti sudah penat menzahirkan rasa tidak puas hati mereka menyaksikan pasukan kesayangan menjadi mangsa belasakan skuad lain.

Pertukaran jurulatih daripada Datuk Lim Teong Kim kepada Yusri Che Lah yang dilantik untuk memangku jawatan tersebut sehingga penghujung musim juga sepertinya masih belum menunjukkan hasil.

Melihat keadaan semasa Perak itu sedikit sebanyak membuatkan pengikut Seladang merindui zaman kegemilangan mereka beberapa tahun dahulu.

Percaya atau tidak pada lima tahun lepas, skuad Seladang menghuni kedudukan kedua dan hanya ketinggalan beberapa mata di bawah juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT).

WhatsApp Image 2023-06-26 at 11.44.17

Perak FC musim ini berada di tangga ke-11 bagi saingan Liga Super. — Facebook/PerakFC

Pada 26 Jun 2018, The Star melaporkan bahawa jurulatih Perak ketika itu, Mehmet Durakovic menyatakan hasrat untuk menamatkan kempen TBG dengan cemerlang walaupun gagal memintas Harimau Selatan.

Juara bertahan Liga Super itu mempunyai kelebihan 41 mata yang tidak dapat disangkal dan hanya memerlukan dua kemenangan daripada baki enam perlawanan untuk merangkul mahkota liga kelima berturut-turut.

Manakala, Perak pula berada di tempat kedua jauh dengan 28 mata namun Durakovic berkata, walaupun agak mustahil untuk mengejar JDT tetapi apa-apa boleh berlaku dalam bola sepak.

Pengendali dari Australia itu menyuruh agar pasukannya untuk terus berjaga-jaga dan memanfaatkan kesilapan JDT.

“Agak sukar untuk mengejar JDT sekarang dengan jurang yang besar tetapi itu tidak bermakna kami tidak akan cuba memenangi perlawanan kami.

"Kami berada di landasan untuk menduduki tempat kedua selepas berehat selama 19 tahun dan saya mahu memenangi baki perlawanan kami.

“JDT berada di tahap berbeza di dalam dan di luar padang dengan pasukan Liga-M yang lain... semua orang perlu mengejar mereka.

“Saya mahu pasukan kami merapatkan jurang walaupun perbezaan kami. Kami akan melihat cara untuk memperbaiki diri untuk mencabar mereka,” katanya pada laporan berita bertarikh 26 Jun 2018 itu.

Musim ini, Harimau Selatan kekal mengungguli carta Liga Super dengan 42 mata dan dibezakan sebanyak 33 mata dengan Perak FC yang berada di tangga ke-11 liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram