Lepas tinggalkan kelab Thailand, bek tengah Filipina mula dirisik skuad TBG


  • Podium
  • Ahad, 25 Jun 2023

Perak FC mempunyai antara rekod pertahanan tercorot dalam Liga Super setakat ini. — Facebook/Perak FC

MELIHAT kepada kemampuan Perak FC setakat separuh musim 2023, masih boleh dikatakan bahawa terdapat pelbagai isu yang perlu diperbaiki pihak pengurusan.

Ketumpulan jentera serangan pastinya menjadi agenda utama buat kelab Utara tanah air itu memandangkan mereka hanya menjaringkan 10 gol dalam kancah Liga Super.

Statistik berkenaan meletakkan mereka di kedudukan kedua tercorot dalam kalangan 14 pasukan untuk aspek berkenaan dengan hanya Kuching City FC memperoleh jumlah jaringan lebih rendah.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, kemampuan benteng pertahanan skuad The Bos Gaurus (TBG) juga kerap menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong.

Dalam lima aksi Liga Super terakhir, Perak FC sudah melepaskan 15 gol yang mana menyebabkan mereka mengalami kekalahan dalam kesemua perlawanan berkenaan.

Rekod buruk itu menyebabkan skuad kendalian Yusri Che Lah berada di tangga ke-11 selepas 15 pertembungan hasil sembilan mata yang dikumpul mereka.

351175642_782121206698049_7606808470462610266_n (1)

Yusri (tengah) perlu mencari solusi segera untuk skuad TBG.Facebook/Perak FC

Jadi, dengan jendela perpindahan akan dibuka pada Julai, terdapat kemungkinan besar bahawa kelab itu akan sekali lagi berbelanja besar demi kebaikan sendiri.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin berkata, pengumuman mengenai pemain baharu akan dibuat selepas aksi Liga Super menentang PDRM FC pada Jumaat lalu.

Namun, sehingga kini, tiada sebarang kenyataan dibuat mengenai aktiviti perpindahan, sekali gus menyebabkan lebih ramai pengikut setia kelab menimbulkan khabar angin.

Antara yang berbuat sedemikian ialah seorang penyokong menerusi laman akaun Facebook Silverian Syndicate yang berkata, skuad TBG akan membawa masuk bek tengah kebangsaan Filipina, Jesper Nyholm.

"Khabar angin sahaja. Selagi tidak diumumkan, tidak tahu sahih atau tidak," kata pengguna laman media sosial itu pada Ahad.

Perkhabaran berkenaan sememangnya cukup menghangatkan lagi suasana bola sepak di negeri itu apabila pasukan terbabit hanya memiliki lima pemain import ketika ini.

Jesper-Nyholm

Nyholm mempunyai kriteria penting untuk menguatkan benteng pertahanan skuad TBG. Agensi

Kekurangan tersebut dikatakan sebagai antara punca skuad TBG tidak dapat bersaing pada tahap terbaik dengan sumbangan mereka cukup didambakan.

Ura-ura berkenaan tidak terhenti di situ apabila majikan lamanya, Muangthong United pada Sabtu mengumumkan pemergian Nyholm awal Jun lalu.

Kehadiran bek tengah berkenaan dijangka akan mengukuhkan lagi benteng pertahanan mereka apabila dia memiliki pengalaman cukup luas dalam dunia bola sepak.

Selain menghabiskan hampir dua musim di Thailand, pemain berkenaan juga meluangkan majoriti daripada tahun-tahun permainannya di Sweden dengan beberapa kelab pernah diwakilinya.

Tidak cukup dengan itu, ketinggian Nyholm yang mencecah 1.83 meter turut berpotensi untuk menambah tonik buat Perak FC yang sering mensia-siakan bola di udara.

Bagaimanapun, perkhabaran tersebut masih tidak disahkan mana-mana pihak, sekali gus menyebabkan orang ramai terus berteka-teki akan kehadirannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram