KELANTAN United FC (KUFC) mengumumkan ketibaan penyerang import baharu, Ismahil Akinade yang akan mengetuai jentera serangan Kijang Hijau menjelang jendela perpindahan kedua nanti.
Ismahil yang sebelum ini beraksi bersama Kelantan FC memutuskan untuk berhijrah ke pasukan seteru, KUFC selepas pelbagai isu dalaman yang melanda pasukan tersebut.
Pemain kelahiran Nigeria itu antara penyumbang Kelantan berjaya menjadi pasukan pertama membolosi gawang gol Johor Darul Takzim (JDT) menerusi sepakan penalti selepas dia dijatuhkan oleh Syihan Hazmi dalam perlawanan Liga Super pada 11 Mac 2023.
Meskipun kedatangannya bersama The Red Warriors lambat, Ismahil tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan segera apabila dia berjaya melakukan empat gol, tiga assist dalam 10 perlawanan bersama Kelantan.
Menerusi laman Facebook rasmi Kelantan United, Ismahil dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan sebaik sahaja pendaftaran dengan Malaysian Football League (MFL) selesai.
Rezal Zambery dikaitkan bakal berpindah ke Kelantan United FC. — Facebook/TRW Kelantan FC
Selain Ismahil, desas-desus perpindahan penolong jurulatih Kelantan, Rezal Zambery Yahya ke Kelantan United juga mendapat perhatian penyokong TRW.
Dikhabarkan jurulatih 44 tahun itu akan membantu Ailton Silva yang baharu sahaja menyertai KUFC pada minggu lalu.
Jika perpindahan Rezal ke Kelantan United itu terjadi, TRW akan kehilangan salah seorang jurulatih yang baik apabila dia sebelum ini berjaya membawa Kelantan menjadi naib juara Liga Perdana musim lalu.
Sebelum ini Kelantan sudah pun kehilangan khidmat jurulatih analisis, Pol Corpas Cuatrecasas yang mana dia mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama TRW.
Pemain import, Miguel Cifuentes turut mengambil langkah yang sama keluar dari TRW selepas mendapat tawaran Sabah FC baru-baru ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram