"SAYA sebagai bekas pemain Selangor, mahu melihat anak-anak buah Tan Cheng Hoe mara ke final."
Itulah harapan yang dilontarkan bekas kapten pasukan Selangor FC, Razman Roslan apabila ditanya mengenai pertembungan dua gergasi Liga Malaysia pada separuh akhir Piala FA 2023.
Bahang kehangatan pertembungan dua seteru utama bola sepak tanah air itu pastinya sedang menjadi bualan peminat bola sepak tempatan.
Razman yang memulakan karier profesionalnya bersama Selangor mahu melihat skuad Gergasi Merah pergi lebih jauh dalam saingan Piala FA.
Namun Razman tetap realistik dengan kualiti pemain yang ada di dalam Johor Darul Takzim (JDT) sekali gus menyukarkan misi ke pentas akhir.
"Betul, ramai yang jangkakan JDT boleh mara ke final.
"Mereka ada kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri dan kebal di Stadium Sultan Ibrahim.
“Begitupun saya percaya ramai peminat bola sepak mahu melihat pasukan mana yang boleh gagalkan JDT untuk bolot semua piala musim ini," katanya dalam satu program Nadi Arena baru-baru ini.
Razman (hujung kiri) ketika dilantik menjadi kapten Selangor FC pada 2017. — Facebook
Dalam pada itu, Cheng Hoe sudah memberi pesanan kepada anak-anak buahnya supaya bijak mengawal keadaan permainan menjelang aksi separuh akhir Piala FA berdepan JDT pada Isnin.
"Dalam bola sepak kalau tengok 'one of the game', semi final mungkin kita kena ada strategi yang terbaik untuk menentang JDT.
"Kerana kita tahu serangan mereka cukup baik seperti Fernando Forestieri, Bergson da Silva, Leandro Velazquez, Arif Aiman dan Juan Muniz yang mana gandingan mereka cukup baik untuk menjaringkan gol.
"Dalam pada masa yang sama barisan pertahanan kita kena pandai mengawal situasi tersebut, kalau kita lihat Selangor pun ada peluang yang baik untuk layak ke final tapi itu bukan satu tugas yang mudah," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram