'Pemain Selangor sedia maklum', Cheng Hoe enggan layan perang psikologi berdepan JDT


  • Podium
  • Ahad, 25 Jun 2023

Cheng Hoe memberi peringatan kepada anak-anak buahnya supaya bijak mengawal keadaan permainan menjelang aksi separuh akhir Piala FA berdepan JDT. — Facebook

PENTAS separuh akhir Piala FA 2023 sekali lagi bakal menemukan juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC pada Isnin.

Bahang kehangatan pertembungan dua seteru utama bola sepak tanah air itu pastinya sedang menjadi bualan peminat bola sepak tempatan.

Bagaimanapun, dalam kesibukan para pemain mempersiapkan mental dan fizikal bagi menghadapi perlawanan tersebut, JDT dilihat seolah-olah cuba mengadakan perang psikologi sebelum bertembung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Tengku Mahkota Johor (TMJ) sebelum ini memuat naik InstaStory sedang melakukan senaman di Stadium Sultan Ibrahim, Johor sambil memperhatikan latihan skuad Harimau Selatan.

Apa yang menariknya ialah, gambar keputusan di 'scoreboard' stadium yang mana JDT bakal menang dengan keputusan 5-0 menentang Selangor pada Isnin.

Bagaimanapun, pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe kekal fokus dan enggan layan provokasi pihak lawan di media sosial.

"Yang penting itu adalah perang psikologi dan semestinya saya rasa pemain-pemain pasukan Selangor dah tahu dan sedia maklum tentang perang psikologi tersebut.

"Saya rasa pemain-pemain cukup pengalaman yang terbaik kerana kita juga ada pemain yang bermain dengan skuad kebangsaan dan 'experience'.

"Jadi kita harap itu sebagai satu cabaran untuk kita yang penting kita tidak ada sebarang gangguan emosi pemain apabila menentang JDT nanti," katanya kepada Astro Arena.

Selangor v JDT

JDT pernah tewaskan Selangor di Stadium MBPJ dengan keputusan 4-0 dalam saingan Liga Super.

Dalam pada itu, Cheng Hoe memberi peringatan kepada anak-anak buahnya supaya bijak mengawal keadaan permainan menjelang aksi separuh akhir Piala FA berdepan JDT pada Isnin.

"Dalam bola sepak kalau tengok 'one of the game', semi final mungkin kita kena ada strategi yang terbaik untuk menentang JDT.

"Kerana kita tahu serangan mereka cukup baik seperti Fernando Forestieri, Bergson da Silva, Leandro Velazquez, Arif Aiman dan Juan Muniz yang mana gandingan mereka cukup baik untuk menjaringkan gol.

"Dalam pada masa yang sama barisan pertahanan kita kena pandai mengawal situasi tersebut, kalau kita lihat Selangor pun ada peluang yang baik untuk layak ke final tapi itu bukan satu tugas yang mudah," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram