PERTEMBUNGAN empat pasukan separuh akhir Piala FA semakin hangat diperkatakan oleh penyokong bola sepak tanah air yang mana menimbulkan persoalan orang ramai siapakah bakal menjadi finalis kejohanan berpestrij 33 tahun itu.
Harimau Selatan bakal menerima kunjungan Gergasi Merah di kubu keramat mereka, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Isnin.
Manakala Terengganu FC (TFC) melayani kunjungan Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Ahad.
Meskipun pertembungan di antara Terengganu FC (TFC) dan Kuala Lumpur City FC (KL City) tidak mendapat ‘spotlight’ yang sama seperti JDT menentang Selangor, namun perlu diingat bahawa rekod dua pasukan itu musim lalu sebagai finalis dua kejohanan terbesar peringkat domestik dan antarabangsa.
Terengganu yang menjadi naib juara Piala FA musim lalu terpaksa akur dengan kehebatan JDT yang menewaskan Sang Penyu dengan keputusan 1-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 10 September 2022.
Skuad kendalian Bojan Hodak pula mengejutkan seluruh benua Asia apabila berjaya membawa KL City ke pentas akhir Piala AFC meskipun baru pertama kali menyertai kejohanan antarabangsa itu.
Dengan perlawanan dua pasukan naib juara ini, separuh akhir Piala FA pastinya akan tambah menarik apabila empat pemain ini dijangka balak menjadi tumpuan orang ramai.
Majoriti senaraikan empat pemain tumpuan pada aksi Terengganu menentang KL City pada Ahad:
1. Sony Norde
Sebelum ini, Sony Norde menggembirakan hati penyokong-penyokong TFC selepas berjaya menjadi pemain kedua dalam Liga Super yang merobek gawang gol JDT.
Pemain kelahiran Haiti itu mempunyai teknik sepakan percuma yang baik apabila dia merembat bola dengan padu hingga melepasi benteng yang dibuat oleh pemain-pemain JDT.
Walaupun bermula perlahan musim ini bersama Terengganu, Sony semakin mendapat rentak apabila banyak menjadi pemain yang sentiasa mengucar-ngacirkan bentang pertahanan lawan.
Dalam saingan liga, Sony berjaya melakukan 11 penampilan serta empat jaringan gol dan satu assist.
Paulo antara pemain paling konsisten KL City ada. — Facebook/AFC
2. Paulo Josue
Jeneral tengah KL City ini antara pemain paling konsisten beraksi bersama pasukan dalam mana-mana perlawanan dihadapi mereka.
Paulo juga memainkan peranan penting pada perlawanan lalu ketika KL City mencetuskan serangan ke arah kubu lawan menerusi kreativiti dan ketenangannya mengawal di jentera tengah.
Kelebihan Paulo terletak pada teknik kawalan bola dia yang cantik, pakar dalam situasi bola mati, selain kreatif menyusun serangan buat KL City.
Musim ini Paulo antara pemain tempatan yang mencatatkan assist tertinggi di dalam liga dengan lima bantuan serta enam jaringan gol.
Azam tampil dalam kesemua aksi Liga Super 2023. — Facebook/TFC
3. Azam Azmi Murad
Antara prospek utama skuad kebangsaan untuk menggantikan posisi Matthew Davies di masa akan datang.
Azam Azmi dianggap sebagai salah satu tonggak Terengganu FC yang cukup dikenali dengan kemampuan untuk melakukan terjahan bersih serta menyekat serangan pihak lawan.
Musim ini, Azam sekali lagi meneruskan prestasi membanggakannya apabila tampil dalam kesemua aksi Liga Super 2023.
Bersama skuad kebangsaan B-23, pemain berusia 22 tahun itu berjaya menghadiahkan Piala Merlion pada Mac 2023 yang mana mereka menewaskan Hong Kong di pentas final dengan keputusan 2-1.
Kipre berjaya menjaringkan enam gol dan tiga assist sepanjang 13 penampilan bersama KL City di Liga Super. — Facebook
4. Tchetche Kipre
Berhijrah ke KL City musim ini, Tchetche Kipre tidak kehilangan sentuhannya di depan pintu gol.
Berikutan faktor usia, pemain berusia 35 tahun itu sentiasa dilihat sebagai pemain gantian kepada penyerang lain dalam Liga Super sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun pemain kelahiran Ivory Coast itu sentiasa mencari jalan untuk mendapatkan keyakinan jurulatih bagi diturunkan dalam kesebelasan utama.
Ia dibuktikan apabila dia menjadi pilihan utama Bojan Hodak untuk mengetuai jentera serangan KL City musim ini.
Dalam liga, Kipre berjaya menjaringkan enam gol dan tiga assist sepanjang 13 penampilan bersama KL City di Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram