Penalti 'lembut' Mat Don bantu skuad Warga Kota tempah tiket ke SSI


  • Podium
  • Isnin, 26 Jun 2023

Kegagalan Liridon untuk menyempurnakan penalti menjadi bahan bualan utama penyokong Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC

KUALA Lumpur (KL) City FC sekali lagi mencatatkan satu lagi momen mengejutkan dalam sejarah bola sepak tanah air apabila melangkah ke pentas akhir Piala FA 2023.

Selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selepas 120 minit permainan, perlawanan tersebut diheret ke penentuan sepakan penalti.

Asakan demi asakan yang dibuat pasukan tuan rumah tidak berjaya menembusi benteng kebal yang diletakkan KL City FC dengan harapan mereka untuk melangkah ke sebuah lagi final.

Kegagalan pemain sayap, Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim untuk menyempurnakan penalti meletakkan skuad Warga Kota di hadapan selepas sepakannya diselamatkan penjaga gawang lawan, Azim Al-Amin.

Bagaimanapun, kedudukan dalam penentuan itu sekali lagi terikat apabila penjaga gol skuad Sang Penyu, Suhaimi Hussin menyelamatkan penalti daripada bek tengah KL City FC, Matko Zirdum.

Tetapi, anak-anak buah Bojan Hodak akhirnya dapat menarik nafas lega apabila Azim sekali lagi menjadi wira apabila menepis sepakan lemah daripada pemain tengah Terengganu FC, Liridon Krasniqi.

Bek tengah kelahiran Australia, Giancarlo Gallifuoco kemudiannya hadir memastikan tiket ke pentas akhir Piala FA 2023 milik KL City FC apabila tendangan derasnya gagal dibaca Suhaimi.

Kemaraan tersebut menyaksikan pasukan Lembah Klang itu akan melangkah ke pentas akhir buat tahun ketiga berturut-turut selepas tampil dalam final Piala Malaysia 2021 dan Piala AFC 2022.

KL City FC selepas ini akan bertemu sebuah lagi finalis, Johor Darul Takzim (JDT) atau Selangor FC dalam pertembungan akhir yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram