BERBAKI sehari lagi, aksi separuh akhir Piala FA antara dua pasukan gergasi negara, Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC pastinya menjadi perlawanan yang ditunggu-tunggu penyokong bola sepak tempatan.
Manakan tidak, kedua-dua pasukan itu boleh dikatakan musuh tradisi dalam arena bola sepak tanah air.
Selain itu, aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor akan menentukan kelab yang bakal melangkah ke pentas akhir.
Walaupun perlawanan yang akan berlangsung pada Isnin itu dilihat lebih memihak kepada skuad kendalian Estaban Solari namun pasukan kehebatan kelab Gergasi Merah itu juga tidak boleh dipandang remeh.
Hal ini kerana, sejak Tan Cheng Hoe mengambil alih tugas sebagai jurulatih baharu pasukan tersebut pada September lalu, pasukan itu dilihat terus bersinar.
Pada masa sama, kehandalan barisan pemain Selangor FC juga patut dipuji. Mereka dilihat sentiasa konsisten dalam memberikan yang terbaik pada ketika ini.
Walaupun baru berumur 21 tahun, namun Ruventhiran (tengah) bermain dalam skuad utama Selangor FC. —Instagram/Ruventhiran
Untuk rekod, Selangor FC berada di tangga kedua selepas JDT di carta Liga Super dengan mengumpul 31 mata.
Sehubungan itu, sudah pastinya JDT yang berpangkalan di selatan tanah air perlu berwaspada dengan pasukan tersebut.
Selain penyerang berbisa, Faisal Halim, pemain Harimau Selatan seharusnya berwaspada dengan seorang lagi ubi muda Selangor FC, V. Ruventhiran yang sedang meningkat naik.
Walaupun baru berumur 21 tahun, namun anak jati Selangor itu sudah bermain dalam skuad kebangsaan dan berjaya menunjukkan bakatnya menjadi seorang pemain pertahanan yang terbaik.
Majoriti menyenaraikan tiga sebab JDT perlu berwaspada dengan Ruventhiran:
1. Tonggak Harimau Malaya yang menyinar dalam Piala AFF
Ruventhiran dinobatkan sebagai 'Man Of The Match' (pemain terbaik) pada Piala AFF ketika menentang Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada awal Januari lalu. — Agensi
Nama Ruventhiran mula meniti bibir penyokong selepas pemain berketinggian 1.75 meter mempamerkan aksi yang terbaik ketika aksi separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada awal Januari lalu.
Pada perlawanan tersebut, skuad kebangsaan meraih bekalan tipis apabila berjaya mengalahkan juara bertahan, Thailand 1-0 pada ketika itu.
Ruventhiran dianggap pemain yang paling menyerlah dan kesungguhannya dalam menjalankan tugas sebagai pemain pertahanan juga dipuji ramai walaupun menerima asakan demi asakan dari skuad Gajah Perang berkenaan.
Kehebatannya itu turut membuahkan hasil apabila dia dinobatkan sebagai 'Man Of The Match' (pemain terbaik) pada perlawanan tersebut.
2. Fleksibel bermain dalam pelbagai posisi
Ruventhiran boleh bermain di pelbagai posisi sekli gus memberikan kelebihan buat dirinya. —Instagram/Ruventhiran
Selain itu, Ruventhiran juga yang bermain dalam posisi bek kiri itu mampu menggalas sebagai pemain tengah dan kiri sekali gus memberikan kelebihannya buat dirinya.
Walaupun hanya diturunkan sebanyak enam kali dalam 14 perlawanan, namun pemain tersebut dilihat bijak mencari ruang untuk mengucar-ngacirkan perlawanan pihak lawan.
Bukan itu sahaja, ketika bermain di PJ City FC musim lalu, pemain sayap Bawah 22 tahun (B-22) negara itu juga kerap diturunkan sebagai kesebelasan utama.
Sehubungan itu, pengalamannya bermain bersama senior membuktikan dia boleh dikatakan sebagai pemain yang mampu menggalas tugas berat menentang JDT nanti.
3. Muda dan tangkas atas padang
Walaupun masih muda, ketangkasan Ruventhiran di atas padang membuatkan dia terpilih salah seorang daripada lima pemain muda yang pernah beraksi untuk skuad senior Harimau Malaya. —Instagram/Ruventhiran
Pada masa sama, pemain berusia 21 tahun itu berjaya membuktikan kemampuannya untuk skuad B-22 negara apabila membantu pasukan memenangi Piala Merlion, Mac lalu di Singapura.
Setakat ini, Ruventhiran sudah memperoleh sembilan caps untuk Harimau Malaya.
Walaupun masih muda, ketangkasan Ruventhiran di atas padang membuatkan dia terpilih salah seorang daripada lima pemain muda yang pernah beraksi untuk skuad senior di bawah kendalian ketua jurulatih, Kim Pan-gon ketika kejohanan Piala AFF 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram