Zainal Abidin, Tok Gajah pernah pasang cita-cita lebarkan jurang dengan JDT


  • Podium
  • Ahad, 25 Jun 2023

Zainal Abidin Hassan pernah membawa Pahang menjadi salah satu gergasi bola sepak tanah air.

SELEPAS separuh musim Liga Super berlangsung, pelbagai perkara menarik sudah disajikan buat peminat bola sepak tanah air di dalam mahupun di luar padang.

Antara perkara yang semestinya menjadi bahan bualan hangat ialah kekuasaan Johor Darul Takzim (JDT) di persada liga dengan tiada mata dicicirkan setakat 14 perlawanan.

Pencapaian itu semestinya membuka pintu buat mereka untuk membawa pulang trofi Liga Super buat musim ke-10 berturut-turut, yang mana mengesahkan kemegahan kelab di peringkat domestik.

Namun, kedudukan skuad Harimau Selatan bukanlah sesuatu yang boleh dicapai sekiranya mereka terlalu mudah berputus asa sepanjang tahun-tahun kebangkitan mereka.

Mengimbau memori kira-kira lapan tahun lalu, JDT pernah berdepan cabaran untuk mencengkam persada liga memasuki pertengahan musim.

Ketika itu, pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur, Pahang FA pernah dianggap sebagai salah sebuah skuad terbaik tempatan dengan lambakan bintang tanah air mahupun dari luar negara.

Tambahan pula, gandingan ketua jurulatih, Datuk Zainal Abidin Hassan dan pengurus, Datuk Che Nasir Salleh menyaksikan kelab itu sukar untuk disekat kemaraannya.

Selepas 12 perlawanan Liga Super, Pahang FA berada di tangga teratas dengan kutipan 26 mata sementara JDT yang merupakan pencabar terdekat hanya mengumpul 24 mata.

WhatsApp Image 2023-06-25 at 14.57.08 (1)

Jaringan Nwaekeme memaksa kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata yang dibawa pulang.

Jadi, menjelang pertembungan kedua-dua pasukan di Stadium Darul Makmur, Pahang pada 27 Jun 2015, peperangan dari segi psikologi mula dicetuskan pihak pengurusan masing-masing.

Zainal Abidin merupakan antara yang memulakan langkah terawal untuk memberi tekanan terhadap skuad Harimau Selatan yang ketika itu dikendalikan ketua jurulatih dari Argentina, Mario Gomez.

Menurutnya, dia mengharapkan agar anak-anak buahnya tidak mensia-siakan sebarang peluang selain tidak melakukan terlalu banyak kesilapan.

Percaturan kedua-dua pengendali seolah-olah memberikan sedikit kelegaan apabila perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Jaringan pemain sayap, Amri Yahyah pada minit ke-66 meletakkan pasukan Selatan tanah air itu di hadapan sebelum skuad Tok Gajah menyamakan kedudukan menerusi gol Dickson Nwakaeme tiga minit selepas itu.

Pertembungan itu jelas memberikan impak besar buat Pahang FA yang terlepas peluang untuk menjulang trofi Liga Super buat kali keenam dalam sejarah mereka.

Bagi JDT pula, musim 2015 boleh dianggap sebagai salah satu tahun terbaik buat mereka apabila muncul juara liga buat kali ketiga berturut-turut.

Tidak cukup dengan itu, nama mereka turut ditempa dalam sejarah bola sepak tanah air selepas memenangi Piala AFC, sekali gus menjadi pasukan Asia Tenggara pertama yang menjuarai kejohanan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram