Keikhlasan Wan Kuzain sertai skuad kebangsaan dipertikai, abang tampil pertahankan adik


  • Podium
  • Isnin, 26 Jun 2023

Ada segelintir peminat bola sepak negara mempersoalkan keikhlasan Wan Kuzain untuk menyertai skuad kebangsaan.

BERITA mengenai kemungkinan kepulangan Wan Kuzain Wan Kamal yang kini beraksi dengan kelab bola sepak Amerika Syarikat untuk menyarung jersi kebangsaan menjemput pelbagai reaksi berbeza dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Secara logiknya, perkembangan itu seharusnya diraikan kerana ia berpotensi menyumbang kepada persaingan lebih sihat dalam kalangan pemain skuad Harimau Malaya.

Ia juga sekali gus secara langsung membantu pasukan negara mencapai tahap persaingan lebih tinggi menjelang aksi Piala Asia 2023 pada Januari tahun depan.

Namun begitu, hasrat yang pada awalnya dikemukakan secara terbuka oleh bapa kepada pemain tersebut baru-baru ini banyak mendapat reaksi negatif daripada penyokong bola sepak negara.

76680617_2514169605346455_7870123473626988544_o-1200x800

Wan Kuzain (kiri) ketika menyertai sesi latihan bersama skuad B-23 negara pada 2019. — FAM

Ini kerana antara hujah mendominasi perbincangan tersebut adalah pandangan sebilangan peminat yang masih mempersoalkan kesungguhan Wan Kuzain yang juga beraksi di posisi tengah untuk menyarung jersi negara.

Ia khususnya dalam menyahut panggilan negara ketika khidmatnya benar-benar diperlukan sebelum ini.

Untuk rekod, Wan Kuzain pernah dipanggil berlatih bersama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara pada 2019, namun dia tidak dapat diturunkan kerana isu kelulusan dan penyiapan kertas kerja.

Malah bintang muda negara yang kini beraksi bersama St. Louis City SC itu juga terpaksa digugurkan daripada ke Sukan SEA Filipina pada November tahun itu akibat masalah tersebut.

Selepas tempoh tersebut, dia dikatakan tidak lagi menunjukkan minat untuk bersama skuad kebangsaan termasuk dalam beberapa siri kejohanan dan perlawanan persahabatan yang dihadapi Harimau Malaya.

1711182

Wan Kuzain Wan Kamal (jersi kelabu) ketika ini sedang bermain dalam liga MLS Next Pro. — Facebook/Wan Kamal

Disebabkan itu, ramai peminat mempersoalkan keikhlasan Wan Kuzain dalam mewakili negara kerana beranggapan pemain itu hanya memilih menyertai pasukan negara pada waktu ini hanya selepas skuad kebangsaan sudah mula menunjukkan pencapaian membanggakan.

Bagaimanapun, pada masa sama, terdapat beberapa pandangan lain yang berbeza sebaliknya menyatakan bahawa tuduhan dan perspektif negatif yang diberikan terhadap pemain itu adalah agak berlebihan serta tidak tepat.

Perkara itu dijelaskan sendiri oleh individu dipercayai abang kepada Wan Kuzain yang menggunakan nama akaun TheArt_OfKuz4 di Twitter.

"Orang ramai begitu cepat menilai dan menghina Kuzain daripada kata-kata yang tidak pernah diucapkannya. Kata-kata ayah kami tidak menggambarkan fikiran Kuzain.

"Setiap kali Kuzain ditanya, dia sentiasa menjawab dengan cara yang sama bahawa ia adalah satu penghormatan dan sangat bermakna (bermain bersama skuad Kebangsaan), tetapi orang ramai memilih untuk mengabaikannya," katanya menerusi ciapan tersebut.

Hantaran turut turut berkongsikan dua klip temu bual bersama Wan Kuzain berkenaan perkara tersebut sebagai bukti.

Pada masa sama, berdasarkan ciapan berasingan, TheArt_OfKuz4 juga menafikan dakwaan mengatakan bahawa Wan Kuzain menolak menyertai Harimau Malaya kerana pemain itu ingin beraksi bersama pasukan bola sepak Kebangsaan Amerika Syarikat (AS).

Katanya, ini kerana kemungkinan menyertai pasukan bola sepak negara itu hanya timbul ketika perbualan biasa antara pemain berkaki kiri itu dan bekas jurulatihnya.

"Sekali lagi, tidak benar. Kuzain sedang berbual dengan jurulatih lama dan kakitangan pentadbirnya untuk menerima panggilan ke kem (skuad kebangsaan), tetapi jurulatih itu berpendapat lebih baik untuk menunggu pusingan baharu.

"Tetapi kemudian jurulatih itu dilepaskan. Kami hanya teruja dengan potensi dan peluang yang dinyatakan," ujarnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram