[VIDEO] Wan Kuzain meledak lagi, bantu St Louis City kutip 3 mata penuh


  • Podium
  • Isnin, 19 Jun 2023

Tangkap layar video Kuzain melepaskan rembatan padu ketika menentang Real Monarchs pada Isnin.

PEMAIN tengah pasukan St Louis City FC 2, Wan Kuzain Wan Kamal terus menjadi watak penting buat pasukannya apabila mencatat nama selaku penjaring gol ketika menewaskan Real Monarchs dengan keputusan 4-1 pada Isnin.

Kuzain yang diturunkan ke dalam kesebelasan utama pasukan meneruskan rentak kecemerlangan dengan menjaringkan gol kedua yang mana sebelum ini dia mencatatkan jaringan pertama ketika menewaskan Huntsville dengan keputusan 4-2 pada 12 Jun 2023.

Perancang berusia 25 tahun itu beberapa kali melakukan gerakan yang cukup menarik untuk membantu pasukan memperoleh ruang bagi menjaringkan gol.

Bukan itu sahaja, ketenangan yang ditampilkan oleh pemain kelahiran Amerika-Malaysia ini jelas menjadi tunjang pasukannya apabila mengawal tempo perlawanan dengan cukup baik.

Kuzain jelas dapat melihat hantaran yang dilakukan oleh rakan sepasukan sebelum keadaan kelam-kabut di dalam kawasan Real Monarchs dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Dia berjaya melepaskan satu rembatan cantik selepas barisan pertahanan lawan gagal mengawal kelibatnya yang meluru masuk untuk menjaringkan gol ketiga pasukan.

Kuzain dan rakan sepasukannya yang lain berjaya mengutip tiga mata penuh di kejohanan MLS Next Pro sekali gus memperkukuhkan kedudukan di tempat ke-7 dalam liga.

Sebelum ini, Kuzain dikhabarkan bakal pulang ke Malaysia dan dikaitkan akan menyertai skuad Gergasi Merah namun perpindahan itu tidak berlaku selepas pemain tengah itu kekal di St Louis City FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram