KINI pemain kacukan England-Malaysia, Richard Chin sedang menjadi bualan penyokong Harimau Malaya apabila pemain berusia 20 tahun itu dikhabarkan bakal menyertai skuad kebangsaan.
Richard yang beraksi di posisi tengah bertahan juga boleh bermain sebagai pertahanan kiri dan kanan sekali gus menambah kekuatan buat pasukan kendalian Kim Pan-gon.
Selain Richard beberapa pemain kacukan seperti Nooa Laine turut mendapat perhatian penyokong bola sepak yang mana dia sudah pun menyarung jersi Harimau Malaya pada dua perlawanan persahabatan menentang Hong Kong dan Turkmenistan.
Richard bergambar bersama barisan kejurulatihan Harimau Malaya. — Twitter
Stuart Wilkin dan Nathaniel Shio Hong Wan yang mana sebelum ini beraksi di luar negara juga sudah mula menabur bakti di dalam Liga Malaysia serta skuad kebangsaan.
Namun sebelum kehadiran Richard dan Nooa ke dalam skuad kebangsaan, beberapa pemain yang bermain di luar negara turut pernah menjadi perhatian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Tetapi disebabkan masalah tertentu dan dengan kehadiran muka-muka baharu, pemain-pemain ini mula hilang dari radar FAM serta penyokong Harimau Malaya.
Majoriti senaraikan tiga pemain yang pernah 'hype' untuk menyarung jersi skuad kebangsaan yang kini sudah hilang dari radar:
Wan Kuzain ketika menyertai latihan Harimau Muda pada 2019. — Facebook
1. Wan Kuzain Wan Kamal
Siapa saja yang tidak mengenali Wan Kuzain? Seorang pemain yang menempa nama di Amerika Syarikat (AS) selain pernah dilihat sebagai masa depan bola sepak negara.
Wan Kuzain atau nama penuhnya Wan Kuzain Wan Kamal, sebelum ini menarik perhatian peminat bola sepak tempatan apabila menjaringkan gol pertamanya dalam Major League Soccer (MLS) dalam perlawanan diantara Sporting KC bertemu Minnesota United FC pada 2018, sekali gus dilihat sebagai bakat yang akan beraksi buat skuad kebangsaan.
Namun, sehingga kini, pemain berkaki kiri ini masih tidak pernah bermain untuk skuad Harimau Malaya atau Harimau Muda, meskipun mempunyai pengalaman dan susuk fizikal yang mampu meningkatkan tahap permainan pasukan kebangsaan.
Walaupun sebelum ini dia pernah dipanggil untuk berlatih bersama skuad B-23, kesukaran untuk mendapatkan kelulusan dan menyiapkan kertas kerja menyebabkan Wan Kuzain tidak dapat diturunkan untuk beraksi.
Sejak itu, pemain ini sudah tidak lagi berada dalam radar barisan kejurulatihan Malaysia yang melihat terdapat pemain lain yang mampu mengisi posisi tersebut.
Menurut laman sesawang Transfermarkt, Wan Kuzain musim ini mewakili pasukan simpanan St. Louis yang bermain di dalam Liga MLS Next Pro.
Kali terakhir Jaami mewakili skuad remaja Brighton pada 2022. — Agensi
2. Jaami Qureshi
Penyerang remaja kacukan Iraq-Malaysia, Jaami Qureshi, pernah mengakui menerima tawaran daripada FAM untuk memperkuatkan skuad B-19 dan B-23 kebangsaan selepas melakukan perbincangan.
Namun hasrat untuk melihat bekas pemain remaja Brighton and Hove Albion ini menyarung jersi pasukan kebangsaan tidak kesampaian selepas pelbagai halangan yang dihadapi untuk merealisasikan impian itu.
FAM pernah mendedahkan bahawa bapa Jaami, inginkan anaknya diberi keistimewaan taraf kerakyatan tanpa perlu melalui proses penilaian teknikal.
Ayahnya, Perviz Qureshi keberatan membenarkan anaknya, Jaami yang berdarah kacukan Iraq-Malaysia, pulang ke tanah air disebabkan tempoh kuarantin yang panjang dan mencadangkan supaya FAM memulakan proses dokumentasi kewarganegaraan anaknya.
Perviz juga keberatan mengizinkan FAM menghantar petugas teknikal untuk menilai kemampuan Jaami.
Disebabkan atas faktor-faktor itu kini Jaami telah memilih kerakyatan Iraq dan bukannya Malaysia.
Impian Wan Kuzri untuk mewakili skuad muda tidak kesampaian selepas AFC membatalkan Piala AFC Bawah-19 2021. — Bernama
3. Wan Kuzri Wan Kamal
Wan Kuzri Wan Kamal mengikuti jejak langkah abangnya, Wan Kuzain yang masih belum mendapat peluang untuk menyarung jersi Malaysia walaupun pernah menjalani latihan bersama skuad kebangsaan sebelum ini.
Hasrat untuk melihat Wan Kuzri menyarung jersi Harimu Muda tidak kesampaian kerana Piala AFC Bawah-19 Tahun (B-19) pada 2021 telah dibatalkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Pemain berusia 20 tahun ini kini sedang mewakili pasukan universitinya iaitu Akron Zips, sejak dari pembatalan AFC B-19 itu nama Wan Kuzri tidak lagi dipanggil menyertai mana-mana skuad muda kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,