MEMALUKAN. Itulah ungkapan paling tepat untuk menceritakan mengenai situasi semasa Kelantan FC yang terus terpalit dengan isu di dalam dan di luar padang.
Kekalahan 0-5 kepada Sri Pahang FC pada Jumaat menceritakan segala-galanya mengenai kelab Pantai Timur itu apabila mereka kini berada di tangga ke-14 selepas 14 perlawanan Liga Super.
Dengan hanya empat mata yang dikumpul ketika ini, harapan pihak pengurusan serta penyokong untuk menyaksikan skuad The Red Warriors (TRW) untuk berada di kelompok 10 pasukan seperti tidak kesampaian musim ini.
Lebih memburukkan lagi keadaan, difahamkan bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah meletakkan larangan buat kelab itu daripada mendaftarkan pemain ketika jendela perpindahan akan datang.
Hukuman tersebut berpunca daripada pembongkaran pihak dalaman, termasuk staf pengurusan mengenai keengganan pemilik, Norizam Tukiman untuk melunaskan tunggakan serta pembayaran gaji.
Situasi berkenaan seperti memberi tekanan tambahan buat skuad TRW memandangkan pemain yang mereka miliki boleh dianggap tidak mencapai standard Liga Super.
Tidak cukup dengan itu, kehilangan beberapa tonggak, terutamanya Miguel Cifuentes sebelum pembukaan jendela perpindahan hanya akan menyebabkan mereka hilang dalam bayang-bayang sendiri.
Kelantan FC mudah diratah skuad Tok Gajah di laman sendiri pada Jumaat. — Facebook/TRW Kelantan FC
Bagaimanapun, dengan sinar harapan semakin kelam buat pemenang gelaran 'treble' 2012 itu, penyokong seolah-olah sudah terbuka hati untuk menerima nasib itu.
Luahan kekecewaan serta kepasrahan yang membanjiri laman media sosial Kelantan FC membuktikan bahawa 'pemain ke-12' skuad TRW seakan-akan sudah kehilangan kata-kata untuk bersimpati dengan pasukan.
Namun, dengan terdapat 12 perlawanan masih berbaki untuk diperjuangkan, kelab yang pernah berada di puncak bola sepak tanah air itu juga seakan-akan enggan mengibarkan bendera putih terlalu awal.
Ini dapat dilihat apabila masih terdapat ribuan penyokong yang hadir di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan ketika aksi menentang Sri Pahang FC tempoh hari bagi memberi sorakan buat pemain di atas padang.
Tetapi, menjelang aksi ke-15 Liga Super antara Kelantan FC dan Penang FC pada 8 Julai, orang ramai meletakkan satu harapan terakhir bagi penyokong.
Berdasarkan kata-kata yang memenuhi ruangan komen kelab, pengikut fanatik skuad TRW mengharapkan agar ketua jurulatih baharu, Alfredo Vera membuat rombakan terhadap kesebelasan utama.
Persembahan Yusri cukup mengecewakan buat skuad TRW musim ini. — Facebook/TRW Kelantan FC
Antara desakan yang diletakkan ialah dengan menegaskan bahawa bek tengah, Yusri Yuhasmadi tidak sesuai untuk beraksi melihat kepada persembahannya kebelakangan ini.
Dalam penampilannya dalam aksi antara Kelantan FC dan Sri Pahang FC sebelum ini, pemain berusia 24 tahun tersebut kerap melakukan kesilapan sehingga mudah dihukum pihak lawan.
Kehadirannya itu juga dikatakan sebagai salah satu punca utama mereka dibolosi sebanyak lima kali sehingga menimbulkan rasa kurang senang.
"Pada saya, ada juga perubahan sedikit dari segi permainan. Tetapi, kenapa Yusri bermain dengan cukup teruk. Dia terlalu kerap membuang bola," kata Adam Nazar Channel.
"Yusri perlu direhatkan dah ni. Terlalu mudah dibolosi dan tidak boleh langsung menyelamatkan bola di hadapan pintu gol sendiri," kata Razali Daud.
"Main macam (Harry) Maguire dah saya tengok Yusri ni bermain. Selepas ini, untuk perlawanan menenteng Penang FC, saya harap dia tidak diturunkan," tegas Rahim Pojie.
Setakat ini, pemain berketinggian 1.79 meter itu sudah mengumpul 12 penampilan Liga Super dengan ada daripadanya dia diberikan peranan sebagai kapten pasukan.
Musim lepas, Yusri memainkan peranan amat penting apabila skuad TRW muncul sebagai naib juara Liga Perdana dengan hanya 14 gol dilepaskan benteng pertahanan.
Pencapaian itu juga membolehkannya digelar sebagai permata baharu buat pasukan Pantai Timur itu dengan kelantangannya di atas padang sering mencuri perhatian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram