WALAUPUN sudah menukar ketua jurulatih baharu, penyokong-penyokong Kelantan FC masih belum yakin dengan kemampuan yang akan dibawa Angel Alfredo Vera menjelang pertemuan menentang Sri Pahang FC pada Jumaat.
Meskipun beraksi di halaman sendiri, Stadium Sultan Muhammad IV, tidak mampu menyakinkan penyokong Kelantan untuk terus memberikan sokongan buat pengendali baharu itu.
Untuk rekod Kelantan telah tewas 11 dalam 14 perlawanan dan dibolosi sebanyak 47 gol sekali gus menjadi pasukan tercorot Liga Super.
Dengan isu luar padang yang menghimpit pasukan Kelantan, rata-ratanya penyokong tidak lagi percaya dengan barisan kepimpinan yang diterajui pemilik TRW, Norizam Tukiman.
Kelantan juga menjadi satu-satunya pasukan yang menukar tiga ketua jurulatih dalam satu musim dengan harapan untuk memperbaiki prestasi pasukan.
Vera (kanan) dilantik sebagai pengendali baharu Kelantan FC. — Facebook/TRW Kelantan
Di halaman rasmi Facebook Kelantan FC, penyokong-penyokong TRW sudah pun menjangkakan jurulatih baharu, Vera akan tewas pada perlawanan pertamanya sekali gus merekodkan kekalahan ke-12 buat bekas juara Liga Super 2012 itu.
"Kalah dah ada alasan, coach kita masih baharu lagi perlu masa nak sesuaikan diri dengan pemain," kata Miyoor Apitt II.
"Sri Pahang FC ini pasukan yang kuat, overall kualiti pemain import tempatan jauh beza dengan kita, kalau seri pun dah kira baik sangat, tapi kalau kalah pun jangan besar sangat bolos itu," ujar Mohd Fikrin.
"Malam ini (Jumaat) makan nasi lauk besar," luah Bintang Kejora.
"Berapa gol yang anda mahukan? pasukan kita (Kelantan) dah jadi lubuk pihak lawan dapat gol," jelas Syafiq Rahman.
"Cukup pemain ke nak main malam ini? soal Gerard Piqie. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram