ISU luar padang Kelantan FC seperti tiada penghujungnya lagi-lagi selepas satu persatu bekas pemain dan tonggak pasukan itu semakin berani tampil mendedahkan masalah yang berlaku dalam kem latihan mereka.
Bukan itu sahaja, masalah membabitkan skuad The Red Warriors (TRW) juga semakin parah apabila ejen kepada bekas jurulatih Kelantan FC, Choi Moon-sik, Myeongho Jeong mengesahkan perkara itu sudah dipanjangkan ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Seperti tiada alasan kukuh untuk terus beraksi bersama skuad TRW, pastinya beberapa pemain juga sudah mendapat dan mungkin sedang mempertimbangkan tawaran untuk berhijrah ke pasukan Liga Super lain.
Mengambil contoh terdekat, penyerang, Nurshamil Abd Ghani tidak segan silu mendedahkan minatnya untuk menyertai pasukan Kelantan United FC (KUFC) menerusi satu sesi live TikTok pada Isnin.
Selain skuad Kijang Hijau, tonggak berusia 29 tahun itu juga dikaitkan dengan kelab berpangkalan di Pantai Timur tanah air, Sri Pahang FC menjelang perpindahan kedua Malaysia pada Julai nanti.
Memberi respons mengenai isu berkenaan, penyokong Tok Gajah bagaimanapun tidak gemar untuk menerima Nurshamil sebagai peledak yang akan bergandingan dengan Kpah Sherman di bahagian serangan.
Pemain ke-12 Sri Pahang berpendapat bahawa pemain kelahiran Melaka itu tidak akan memberikan sumbangan besar kepada pasukan kendalian Fandi Ahmad, selain menyifatkan Nurshamil hanyalah penyerang bertaraf Liga Perdana.
Tangkap layar komen dari Pol Corpas.
Mempunyai pandangan berbeza dengan sebahagian besar pengikut Sri Pahang, penolong jurulatih dan juruanalisis video Kelantan FC, Pol Corpas Cuatrecasas seakan-akan merestui penghijrahan Nurshamil ke pasukan tersebut.
Perkara tersebut dapat dilihat apabila Pol Corpas atau nama Islamnya, Abu Bakar memberikan emoji berapi-api kepada hantaran khabar angin mengaitkan Nurshamil ke Sri Pahang yang sepertinya membawa maksud dia tidak sabar melihat bekas anak didiknya itu menyertai pasukan baharu dalam masa terdekat ini.
Sekiranya bekas tonggak Melaka United itu berpindah ke Darul Makmur, Nurshamil akan mengikut jejak langkah rakan lain iaitu Cristian Rontini, Shafiq Shaharudin dan bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT), Carli De Murga yang meninggalkan pasukan TRW pada April lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram