Kini hanya pasukan belasahan, 10 tahun lalu TRW pernah bercuti menghitung hari ke final Piala FA


  • Podium
  • Selasa, 13 Jun 2023

Mengimbau 10 tahun lalu, Kelantan mencipta sejarah tersendiri menumpaskan Johor 1-0 pada aksi akhir Piala FA 2013. — Facebook

TARIKH 13 Jun kira-kira 10 tahun lepas menjadi detik menggembirakan buat penyokong Kelantan FA apabila pihak kerajaan negeri mengumumkan memberi cuti peristiwa kepada seluruh warga negeri itu sebagai tanda penghargaan kepada peminat bola sepak mereka.

Cuti peristiwa selama sehari pada 30 Jun itu bagi memastikan peminat bola sepak di Kelantan selamat kembali selepas menonton perlawanan akhir Piala FA antara skuad The Red Warriors (TRW) dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri Besar ketika itu, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat exco kerajaan negeri pada Rabu setelah mengambil kira cuti berkenaan tidak akan menjejaskan operasi pentadbiran kerajaan dan swasta di Kelantan.

"Tiada sebarang aduan daripada mana-mana pihak terutamanya pihak swasta (mengenai pengisytiharan cuti itu). Secara keseluruhannya, kebanyakan orang mengalu-alukan cuti itu kerana ia bukan perkara yang sering kita lakukan,” katanya.

Lebih memberikan senyuman kepada penyokong apabila usaha mereka turun menyokong pasukan di Bukit Jalil pada 29 Jun itu dibalas dengan kemenangan apabila Kelantan menumpaskan Johor 1-0 pada aksi akhir Piala FA 2013 tersebut.

WhatsApp Image 2023-06-13 at 22.08.29

Pemain Kelantan meraikan jaringan gol tunggal oleh Mohd Norfarhan pada minit ke-16. — Facebook

Jaringan daripada Mohd Nor Farhan pada minit ke-16 permainan sudah cukup mengesahkan pasukan kendalian Bojan Hodak ketika itu untuk sekali lagi bergelar juara Piala FA Malaysia sekali gus mempertahankan trofi yang dijulang pada musim 2012.

Aksi bersejarah disaksikan 87,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil itu merupakan kali keempat Kelantan mara ke final selepas tahun 2009, 2011 dan 2012.

Cuti peristiwa dan kejayaan merangkul Piala FA itu merupakan kali terakhir Kelantan menjulang trofi dan selepas 10 tahun berlalu, skuad TRW kini hanyalah pasukan yang melengkapkan jadual liga.

Bukanlah auta semata-mata mengibaratkan skuad TRW hanya sekadar pelengkap liga berikutan jika dilihat pada carta kedudukan pasukan Kelantan FC kini berada pada tangga tercorot dengan satu kemenangan sahaja direkodkan.

WhatsApp Image 2023-06-13 at 22.09.22

TRW kini hanya merekodkan satu kemenangan selepas 13 perlawanan. — Facebook/TRW

Tidak cukup dengan masalah prestasi, Kelantan dilanda pula dengan isu luar padang yang mana pihak pengurusan skuad TRW difahamkan tidak membayar gaji pemain dan pegawai pasukan.

Pasukan berpangkalan di Pantai Timur yang kini dimiliki Norizam Tukiman ataupun Zamsaham itu difahamkan menahan gaji pemain berikutan gagal memberi kemenangan kepadanya walaupun sudah menukar pengendali baharu.

Tidak cukup dengan masalah itu, ejen kepada bekas jurulatih Kelantan FC, Choi Moon-sik, Myeongho Jeong pula tetap dengan pendirian untuk mengheret Kelantan FC ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas Moon-sik direhatkan pasukan terbabit pada April lalu.

WhatsApp Image 2023-06-13 at 22.08.29-2

Penyokong meminta Zamsaham untuk melepaskan TRW. — Facebook/TRW

Kemelut yang tidak berkesudahan itu membuatkan usahawan terkenal, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida terbuka untuk kembali menaja Kelantan jika bersesuaian dengan syaratnya iaitu antara lain tidak ingin membayar segala tunggakan yang ditinggalkan Zamsaham.

Sama ada Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd yang juga bekas penaja skuad TRW ataupun Zamsaham berhasil menyelesaikan segala masalah Kelantan, penyokong hanya berharap agar Kijang Merah embali menjadi pasukan digeruni seperti dahulu. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram