KEMELUT dalaman yang melanda kem Kelantan FC sejak Mac lalu masih tidak menemui jalan penyelesaian apabila satu persatu individu berkaitan pasukan itu tampil memberanikan membongkar isu luar padang skuad Pantai Timur tersebut.
Bermula dengan ejen bekas jurulatih Kelantan FC, Choi Moon Sik iaitu Myeongho Jeong sehingga pemain yang masih berada dalam kontrak Kelantan, semuanya bersatu demi membongkar dan memperjuangkan hak masing-masing.
Isu luar padang seperti masalah gaji bukan cuma merosakkan nama baik skuad The Red Warriors (TRW), malah beberapa pemain juga sudah mulai angkat kaki daripada menyarung jersi pasukan Kelantan.
Antara pemain yang secara rasmi sudah meninggalkan pasukan tersebut pada April lalu ialah Cristian Rontini, Shafiq Shaharudin dan bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT), Carli De Murga.
Tidak cukup dengan itu, penyerang utama, Nurshamil Abd Ghani turut berkongsi luahan mengenai masalah dalaman Kelantan sehingga dia seperti memberi petunjuk akan angkat kaki daripada skuad TRW.
Kelantan nampaknya akan terus kehilangan pemain pada jendela perpindahan kedua nanti apabila difahamkan seorang lagi tonggak bertaraf bintang akan turut serta mengikuti rakan lain meninggalkan Kelantan.
Malah ada pemain import yang menandatangani kontrak selama enam bulan sahaja untuk mengharungi musim ini dengan pilihan melanjutkan kontrak.
Majoriti senaraikan tiga tonggak import Kelantan FC yang boleh direkrut pasukan Liga Malaysia menjelang jendela perpindahan kedua nanti:
Cifu baru menyertai Kelantan FC awal musim lalu. — Facebook/TRW Kelantan FC
1. Miguel Cifuentes
Meskipun dibawa masuk sebagai seorang pemain tengah, Miguel Cifuentes menonjolkan kebolehannya sebagai salah seorang pemain paling versetail dalam Liga Super bersama Kelantan FC.
Pemain dari Sepanyol itu sering diturunkan dalam beberapa posisi berdasarkan kebolehannya yang cukup baik dari segi menyerang mahupun bertahan.
Pulangannya di hadapan pintu gol lawan juga tidaklah terlalu mengecewakan apabila pemain berusia 32 tahun tersebut sudah merekodkan tiga jaringan peribadi.
Bagaimanapun, dengan Kelantan FC berada dalam isu yang cukup merisaukan ketika ini, terdapat kemungkinan bahawa Cifuentes atau lebih dikenali sebagai Cifu akan mencari kelab baharu.
Arques dikhabarkan bakal meninggalkan TRW. — Facebook/TRW
2. Mario Arqués
Pemain kelahiran Sepanyol ini antara tonggak utama TRW sehingga dilantik menjadi kapten pasukan Kelantan.
Mario musim ini beraksi untuk kesemua 11 perlawanan Liga Super dan melakukan satu bantuan gol buat pasukan Kelantan.
Khabar angin bertiup kencang berkata, kapten pasukan TRW itu bakal menyertai skuad Perak FC.
The Bos Gaurus (TBG) dikhabarkan bakal menerima sentuhan pemain berketinggian 1.85 meter itu untuk membantu skuad tersebut bagi menghadapi saingan Liga Super 2023.
Ismahel dikatakan sedang dirisik beberapa kelab Liga Super. — Facebook/TRW Kelantan FC
3. Ismahel Akinade
Umum mengetahui bahawa Kelantan FC ketika ini berada dalam kemelut di atas dan luar padang sehingga mengakibatkan kelab itu terperosok ke tangga ke-13 Liga Super.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila khabar angin mula tersebar di media sosial mengatakan beberapa tonggak pasukan akan meninggalkan skuad The Red Warriors (TRW).
Antara yang disebut-sebut sedang mencari majikan baharu ialah penyerang import, Ismahel Akinade dengan kelibatnya dikatakan menarik minat Sabah FC.
Ia dikuatkan lagi dengan keputusan pasukan Borneo berkenaan untuk membenarkan pemain kelahiran Nigeria, Njoku Jacob meinggalkan mereka selepas kurang memberi sumbangan di atas padang.
Tiga gol dan tiga bantuan jaringan yang dihasilkan dalam sembilan penampilan Liga Super membuktikan kebolehan pemain berusia 29 tahun itu cukup berharga.
Selain ketinggiannya mencecah 1.9 meter membolehkannya menanduk bola ke gawang gol, Ismahel juga mempunyai kelajuan untuk membantu serangan balas.
Bukan itu sahaja, pemain berkenaan juga mempunyai tubuh badan yang sasa bagi menghalang cubaan pemain lawan daripada mencuri bola dari kakinya.
Tetapi, dengan Kelantan FC dikhabarkan bakal melakukan rombakan secara besar-besaran, adakah mereka akan dengan mudah melepaskan Ismahel ketika jendela perpindahan akan datang? — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,