Bekas pemain HM ditahan, disyaki ceroboh bilik hotel isteri orang


  • 112
  • Sabtu, 24 Jun 2023

Tangkap layar suami kepada mangsa yang memaklumkan bilik hotelnya diceroboh masuk suspek.

SEORANG bekas pemain bola sepak kebangsaan ditahan selepas disyaki menceroboh sebuah bilik hotel yang dihuni seorang wanita di Petaling Jaya pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 35 tahun yang mendakwa biliknya diceroboh lelaki berkenaan pada kira-kira pukul 6.10 petang.

"Berlaku perselisihan faham antara mereka dan wanita tersebut meninggalkan hotel untuk menyelamatkan diri mangsa sebelum membuat laporan polis pada 2.10 pagi Khamis," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Fakhrudin berkata, hasil laporan tersebut, pihaknya menahan lelaki berusia 49 tahun itu pada pukul 1 tengah hari di Jalan Penchala, Petaling Jaya, hari yang sama.

Katanya, suspek direman sehari (23 Jun) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau berkata, siasatan mendapati wanita terbabit menginap di bilik hotel berkenaan atas urusan kerja dan mengenali suspek tersebut kira-kira setahun lepas.

Terdahulu, tular di laman sosial hantaran seorang lelaki yang mendakwa suami mangsa bahawa bekas pemain bola sepak kebangsaan itu telah menceroboh bilik hotel dan bertindak agresif terhadap isterinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram