SKUAD Sabah FC Bawah 23 Tahun (B-23) mencatatkan kemenangan kedua bagi Kumpulan A dalam saingan Piala MFL 2023 apabila menewaskan Penang FC dengan keputusan 1-0 yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis.
Pasukan Penang FC terpaksa berpuas hati dengan keputusan di tempat pihak lawan itu walaupun merekodkan keputusan seri ketika perlawanan pertama yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 14 Mac lalu.
Walaupun mengalami enam kekalahan dalam Kumpulan A, namun, skuad muda Sang Badak memanfaatkan kelebihan yang ada oleh pasukan itu apabila beraksi di laman sendiri berjaya memberikan tekanan kepada pelawat.
Tangkap layar aksi yang ditampilkan Rizal ketika perlawanan menentang Penang FC. — Facebook/ Sabah Football Club
Dalam perlawanan masa pertama, kedua pasukan dilihat saling mempertahankan benteng pertahanan agar tidak mudah dirobek pihak lawan.
Bagaimanapun, pada aksi babak kedua, penyerang The Rhinos, Azhad Harraz Arman tidak menunggu lama apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-73 dan keputusan tersebut kekal sehingga wisel penamat.
Namun, kelibat pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali turut kelihatan beraksi bagi membantu pasukan B-23 tahun The Rhinos.
Difahamkan dalam perlawanan Piala MFL tersebut, pihak pengurusan Sabah FC membuat keputusan untuk membawa masuk Rizal Ghazali bagi membantu pasukan itu.
Perkara itu dilihat menerusi satu hantaran di laman sosial Instagram miliknya, Rizal yang berdepan dakwaan mengasari bekas teman wanitanya berkongsikan keputusan akhir perlawanan yang mana pasukan B-23 Tahun menewaskan Penang FC dengan keputusan 1-0.
Walaupun dikaitkan dengan isu panas yang sedang dihadapinya, pemain berusia 31 tahun itu tetap tenang dan beraksi dengan baik bersama skuad muda Sang Badak.
Terdahulu, selain Rizal Ghazali, legenda bola sepak Selangor FC, Amri Yahya juga pernah beraksi bersama skuad B-23 tersebut.
Pasukan Sabah FC B-23 berada pada kedudukan ketujuh dengan mengutip lima mata bagi Kumpulan A dalam saingan Piala MFL 2023.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram