Harapan striker berbisa Kedah naik pangkat makin malap


  • Podium
  • Khamis, 22 Jun 2023

Sekitar aksi perlawanan antara KDA FC B menentang skuad Projek FAM-MSN. — Facebook/ KDA FC B

KETIKA skuad Sang Kenari mula menampilkan prestasi yang memberangsangkan, penyokong Hijau Kuning itu dikejutkan bahawa penyerang kelahiran Brazil, Willian Lira dan kelab mencapai persetujuan untuk berpisah di tengah perjalanan liga.

Meskipun terkejut dengan keputusan itu, penyokong merasakan Kedah Darul Aman (KDA) FC mempunyai perancangan lebih baik untuk menggantikan Lira yang perginya meninggalkan 1,001 persoalan ketika pemain itu kian rancak mencetak gol buat Kedah.

Dengan pelbagai khabar angin yang mengaitkan kehadiran penyerang baharu ke Kedah, nama bekas penyerang Selangor FC, Ifedayo Olusegun turut meniti di bibir penyokong yang menyifatkan dia sebagai calon pengganti yang sesuai.

Ini kerana, kelebihan dari segi kelincahan dan fizikal yang dimiliki oleh pemenang Anugerah Kasut Emas sebanyak dua kali itu pastinya amat sesuai untuk menggantikan Lira.

WhatsApp Image 2023-06-22 at 00.39.37

Assifuah yang hanya dapat bermain pada aksi babak pertama perlawanan.Facebook/ KDA FC B

Namun, ada penyokong yang berpendapat Kedah tidak perlu berbelanja besar untuk membawa penyerang baharu kerana calon terbaik bagi menggantikan pemain Brazil itu boleh dipikul bekas pemain remaja terbaik dunia, Ebenezer Assifuah yang kini beraksi bersama KDA FC B.

Selain mempunyai pengalaman luas dalam dunia bola sepak, kebolehannya untuk menggegarkan jaring lawan juga sudah terbukti apabila membantu pasukan itu dalam saingan Piala MFL dengan mencetak 10 gol setakat ini.

Namun begitu hasrat penyokong untuk melihat Assifuah beraksi ke tahap lebih tinggi mungkin tidak kesampaian apabila dia terus dibayangi krisis kecederaan, sekali gus merencatkan peluangnya naik pangkat ke skuad utama.

Dalam perlawanan KDA FC B ketika seri menentang skuad Projek FAM-MSN pada Rabu, Assufiah terpaksa dikeluarkan pada babak masa pertama sebelum perlawanan tamat, dipercayai akibat kecederaan lamanya.

Dalam perlawanan tersebut, Kedah hanya mampu memberikan tekanan kepada pihak lawan namun tiada mempunyai penyudah yang baik untuk menjaringkan gol.

Malah KDA FC B juga mensia-siakan peluang untuk memenangi perlawanan tersebut apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak kedua.

Ekoran itu, ada suara penyokong mula memberikan pendapat mereka mengenai prestasi semasa skuad B-23 tahun itu yang dilihat kurang konsisten dan terlalu menagih sentuhan pemain berketinggian 1.76 meter itu.

"Kecewa tengok gameplay malam ini, awat Assifuah keluar awal," kata Mokhzanie Zinal.

"Dia baru pulih cedera, tak fit lagi itu," kata Muhamad Asy Raf.

"Patutlah, pasal tengok first half dia ada, lepas itu tengok balik second half dah tiada, itulah depa suruh coach Nafuzi (Zain) naikkan Assifuah ke Liga Super, depa ingat mudah nak pulih sepenuhnya dari ACL," kata Mokhzanie Zinal.

Dalam pada itu, ada penyokong mengharapkan agar skuad simpanan Kedah dapat meningkatkan kualiti permainan agar dapat memberi pilihan kepada Ketua Jurulatih Nafuzi Zain menggunakan pemain 'back up' seandainya dilanda isu kekurangan pemain sama ada krisis kecederaan atau penggantungan.

"Kenapalah Kedah B ini tak cari coach yang sama falsafah macam skuad utama, nampak macam terlalu mengharapkan Assifuah. Tanpa dia, penalti pun tak boleh skor," kata Mi Robertson.

"Sebab player team ini dibentuk untuk naik ke liga utama tapi cara permainan player macam tiada arah tuju, main sepak ikut suka hati saja," kata Syed Salahudin Al-Ayubi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram