Tiga 'senjata rahsia' Tok Gajah boleh diturunkan Fandi Ahmad ketika melayan kejutan TRW


  • Podium
  • Jumaat, 23 Jun 2023

Fandi perlu melakukan perubahan jika mahu mencatatkan kemenangan lebih selesa ketika berdepan skuad TRW pada Jumaat. — Facebook/Sri Pahang FC

KEMENANGAN epik yang diraih Sri Pahang FC ketika berdepan Negeri Sembilan FC di laman sendiri pada 9 Jun memastikan pasukan tersebut berada di tangga keempat Liga Super.

Keputusan dramatik hasil kemenangan tipis 4-3 yang berpihak kepada skuad Tok Gajah menyebabkan ribuan penonton di Stadium Darul Makmur, Pahang tidak senang duduk sepanjang 90 minit perlawanan.

Perasaan tersebut juga semestinya dirasai ketua jurulatih pasukan Pantai Timur terbabit, Fandi Ahmad yang akhirnya berpuas hati dengan kejayaan dicatatkan.

Jadi, melihat kepada keputusan itu, pengendali dari Singapura berkenaan pastinya mahu melakukan perubahan bagi mengukuhkan kedudukan mereka dalam kelompok lima pasukan teratas Liga Super.

334426486_542256698009453_4928744456601171611_n

Kali terakhir skuad Tok Gajah berdepan Kelantan FC menyaksikan mereka menang dengan keputusan 4-1. — Facebook/Sri Pahang FC

Meskipun aksi tersebut membuktikan gerakan serangan Sri Pahang FC sudah berada di tahap terbaik, ia sebaliknya memberi gambaran bahawa benteng pertahanan Tok Gajah mudah dibolosi.

Oleh itu, Fandi serta barisan kejurulatihannya pasti akan mencari alternatif bersesuaian menjelang aksi liga berdepan Kelantan FC.

Pertembungan yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan pada Jumaat merupakan platform terbaik buat pasukan itu mendaki tangga Liga Super.

Ia berikutan prestasi mengecewakan skuad The Red Warriors (TRW) ketika ini yang sudah mengalami lapan kekalahan berturut-turut sejak April lalu.

Jadi, peluang berkenaan menjadi satu platform terbaik untuk Fandi menurunkan beberapa pemain yang kerap disisihkan selain kurang meraih minit permainan.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga pemain yang sesuai untuk diturunkan bagi menghadapi skuad TRW dalam misi Sri Pahang FC mencatatkan sembilan kemenangan Liga Super 2022.

1. Shamie Iszuan

Selepas menghabiskan satu musim bersama Sarawak United, pemain sayap tempatan, Shamie Iszuan Amin memilih untuk mencari angin baharu berikutan isu pengurusan skuad Ngap Sayot.

Menyedari terdapat peluang untuk menguatkan lagi jentera serangan, Sri Pahang FC memilih untuk mendapatkan pemain berusia 27 tahun tersebut.

Bagaimanapun, setakat ini, Shamie hanya merekodkan empat penampilan Liga Super dengan kesemuanya berpunca dari bangku simpanan.

Hal tersebut berpunca daripada kecederaan yang dialaminya ketika mewakili skuad kebangsaan dalam saingan Piala AFF 2022 dengan masalah berkenaan difahamkan berlaku ketika sesi latihan.

shamie09_1683610959

Shamie (kiri) lebih kerap diturunkan sebagai pemain gantian musim ini. Facebook/Sri Pahang FC

Perkara itu memberi kesan terhadap sumbangannya di hadapan pintu gol dengan dia masih belum menjaringkan sebarang gol atau mencatatkan bantuan jaringan.

Tetapi, ketika diturunkan baru-baru ini dalam aksi menentang skuad Jang, Shamie membuktikan bahawa dia boleh memberi kesan terhadap kualiti serangan skuad Tok Gajah.

Berdasarkan pemerhatian, pemain sayap kelahiran Sarawak tersebut lebih sesuai diturunkan di posisi sayap kanan yang kini kerap diisi Baqiudin Shamsudin.

Setakat ini, Baqiudin sudah menjadi pilihan utama Fandi dengan dia berada dalam kesebelasan utama dalam kesemua 14 perlawanan Liga Super.

Jadi, sekiranya Fandi berharap untuk melakukan percaturan berbeza, Shamie merupakan alternatif terbaik ketika pertemuan dengan skuad TRW.

2. Sergio Aguero

Pada awal musim lalu, Fandi serta pihak pengurusan Sri Pahang FC memilih untuk memberikan kepercayaan terhadap pemain naturalisasi negara, Sergio Aguero untuk memakai lilitan tangan kapten.

Keputusan tersebut dilihat berpunca daripada tahun-tahun perkhidmatan pemain tengah itu bersama skuad Tok Gajah yang disertainya pada Januari 2021.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, Aguero terpaksa disisihkan kerana mengalami masalah kecederaan yang menyaksikan perancang berusia 29 tahun berkenaan disisihkan.

Kali terakhir Aguero diturunkan adalah ketika berdepan Penang FC pada 20 Mei lalu, namun hanya beraksi selama 38 minit sebelum dikeluarkan akibat masalah kecederaan.

41677883959_SergioAguero (1)

Aguero (kanan) menjaringkan gol ketika kedua-dua pasukan bertemu Mac lalu. Astro AWANI

Sejak itu, bekas pemain Perak FC dan Melaka United tersebut gagal diturunkan dalam tiga perlawanan Liga Super, sekali gus menyebabkan skuad Tok Gajah sedikit tempang.

Di samping mempunyai kualiti sebagai ketua pasukan, kebolehannya untuk mengawal tempo permainan juga membuktikan bahawa dia cukup penting buat kelab itu.

Ketika ini, posisi tersebut diisi Nor Azam Azih meskipun ia bukanlah satu tempat terbaik buatnya, sekali gus memberi sedikit isu di atas padang.

Tetapi, penyokong Sri Pahang FC akhirnya dapat menarik nafas lega apabila pemain kelahiran La Roja, Argentina itu dikhabarkan sudah pulih sepenuhnya.

Berdasarkan laporan, terdapat kemungkinan bahawa Aguero berpeluang diturunkan bagi meningkatkan ketajaman jentera serangan pasukan ketika berdepan Kelantan FC.

3. Malik Mat Ariff

Sebelum ini, nama pemain sayap, Malik Mat Ariff menjadi sensasi negara apabila seorang ejen dari Korea Selatan melihat pemain berkenaan sesuai untuk beraksi di negara Asia Timur itu.

Bagaimanapun, perkara berkenaan tidak menjadi satu jaminan untuk buatnya berada dalam kesebelasan utama dengan Fandi melihat sumbangannya belum cukup buat pasukannya.

Setakat 14 perlawanan Liga Super, pemain sayap kelahiran Beserah, Pahang itu sudah diturunkan dalam 12 aksi Liga Super, namun hanya memulakan pertembungan sebanyak dua kali.

Tetapi, sekiranya Fandi mahu melihat Malik menjaringkan lebih banyak gol, pertemuan dengan skuad TRW merupakan peluang terbaik memandangkan pasukan itu bergelut dari segi pertahanan ketika ini.

1998649

Malik (tengah) jarang mendapatkan peluang dalam kesebelasan utama bersama skuad Tok Gajah. Facebook/Sri Pahang FC

Meskipun lebih sesuai untuk beraksi di posisi sayap kanan, kebolehannya turut terserlah untuk beraksi di sayap berbeza berdasarkan pemerhatian sebelum ini.

Ketika ini, posisi tersebut sering dikongsikan antara Syazwan Andik atau Azrif Nasrulhaq melihat kepada kebolehan mereka untuk melakukan sumbangan dalam aspek serangan mahupun pertahanan.

Namun, sekiranya Fandi mahu melakukan perubahan, kehadiran Malik mampu memberi dimensi baharu melihat kepada tahun-tahun sumbangannya bersama skuad Tok Gajah.

Bagaimanapun, dengan dia jarang berada dalam kesebelasan utama, terdapat kemungkinan hasrat tersebut tidak dapat direalisasikan bagi mengelak isu kecederaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram