[VIDEO] ‘Aguero pegang siapa itu?’, kelibat wajah baharu di padang latihan Sri Pahang


  • Podium
  • Rabu, 21 Jun 2023

Barisan pemain ketika sesi latihan Sri Pahang. — Facebook/SriPahang

SETIAP pasukan Liga Super kini sedang sibuk melihat senarai calon pemain baharu menjelang jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) yang mana ia adalah peluang untuk menambah baik skuad masing-masing bagi pusingan kedua.

Sri Pahang FC turut tidak terkecuali menjadi pasukan yang akan membuat rombakan pada jendela perpindahan Julai nanti terutamanya di bahagian serangan susulan hanya Kpah Sherman menjadi sandaran untuk mengetuai bahagian itu.

Kehadiran pemain import baharu tersebut juga difahamkan akan menggantikan posisi Lucas Silva yang dikatakan akan digugurkan pada jendela kedua ini susulan masalah prestasi yang tidak memuaskan.

Setakat 12 perlawanan skuad Tok Gajah, Lucas hanya diturunkan sebanyak tiga kali dan gagal mencetak sebarang gol untuk pasukan Pantai Timur tersebut.

Antara nama penyerang yang dikaitkan akan berganding dengan Sherman ialah tonggak kebangsaan Liberia, William Jebor dan pemain tengah skuad bawah 23 (B-23) tahun Bahrain, Khalifa Issa Allafi juga difahamkan akan menguatkan bahagian tengah.

Lebih menguatkan khabar angin mengenai tonggak baharu pasukan Tok Gajah apabila kelibat seorang lelaki memakai jersi latihan Sri Pahang dilihat berada bersama barisan pemain.

Dalam satu video tular di laman TikTok, kapten pasukan, Sergio Aguero dilihat memegang pemain tidak dikenali itu ketika sesi latihan Sri Pahang.

‘Aguero pegang siapa itu,” tulis penyokong Sri Pahang, Qarl_Bob sambil memuat naik video tersebut.

Di ruang komen hantaran itu, rata-ratanya membuat andaian sama ada William ataupun Khalifa Issa merupakan individu misteri yang dipegang pemain naturalisasi tersebut.

WhatsApp Image 2023-06-21 at 12.16.28

Khalifa Issa dikaitkan dengan perpindahan ke Sri Pahang FC. — Instagram/KhalifaIssa

Namun begitu, ada juga yang yakin bahawa pemain tersebut ialah Khalifa Issa selepas baru-baru ini Berita Harian melaporkan Tok Gajah hanya menunggu ketibaan pemain berusia 22 tahun itu.

"Memang benar Khalifa Issa yang bermain di posisi tengah bersetuju untuk menyarung jersi skuad Tok Gajah menerusi memorandum persefahaman (MoU).

"Kini, kelab hanya menantikan kehadirannya kerana Sri Pahang memang memerlukan pemain tengah berkualiti dalam usaha memperkasa pasukan," kata sumber SPFC itu. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram