Dua enjin Sang Kenari digantung perlawanan, tiba masa ubi Kedah tunjuk kemampuan


  • Podium
  • Rabu, 21 Jun 2023

KDA FC kini berada di tangga ketiga Liga Super 2023 selepas 14 perlawanan. — Facebook/MFL

KEDAH Darul Aman (KDA) FC berjaya meletakkan dirinya berada di kedudukan tiga teratas selepas mengharungi 14 perlawanan Liga Super 2023.

Secara umumnya, prestasi dipamerkan anak buah Nafuzi Zain itu sememangnya berada di landasan yang tepat memandangkan pembinaan skuad Sang Kenari pada musim ini adalah dengan objektif bagi bersaing bersama pasukan di kelompok teratas liga.

Namun begitu, KDA FC kini tidak boleh terlalu leka dengan kedudukan semasa memandangkan pasukan tersebut yang memungut 28 mata hanya dibezakan dengan perbezaan jaringan gol berbanding Sri Pahang yang berada di kedudukan keempat liga.

Sementara itu, jarak mata antaranya dengan pasukan di kedudukan kelima dan keenam juga tidak begitu jauh apabila mereka hanya dibezakan dengan empat mata berbanding Sabah FC (24 mata) dan lima mata Kuala Lumpur (KL) City FC (23 mata).

Dalam aksi seterusnya di Liga Super 2023, KDA FC akan bertandang ke gelanggang lawan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak, Kuala Nerus bagi menentang Terengganu FC pada 3 Julai ini.

Aksi menentang penyandang naib juara Liga Super musim lalu itu dilihat agak getir memandangkan skuad Sang Penyu pasti mahu bangkit daripada kekalahan 1-3 yang direkodkan ketika menentang pendahulu, Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan terakhir liga 9 Jun lalu.

WhatsApp Image 2023-06-20 at 10.01.07 PM

Lee Tuck (kiri) dan Ott digantung serta tidak dapat beraksi ketika perlawanan menentang Terengganu FC nanti selepas memungut tiga kad kuning. — Facebook/KDAFC

Pada masa sama, cabaran daripada skuad TFC yang kini berada di tangga ketujuh liga juga tidak boleh dipandang rendah kerana anak buah Tomislav Steinbruckner kini seakan-akan sudah kembali menemui rentak selepas mengalami permulaan yang agak hambar.

Ini kerana sebelum tewas di tangan JDT, skuad Sang Penyu berjaya merekodkan tiga kemenangan berturut-turut masing-masing ketika menentang Perak FC 3-0, Kelantan FC 4-2 dan Perak FC 3-0.

Sementara itu, KDA FC pula dijangka bakal memasuki perlawanan menentang TFC dengan agak tempang apabila dua tonggak tengah berpengaruhnya iaitu Manuel Ott yang juga kapten pasukan dan Lee Tuck tidak dapat tampil dalam perlawanan tersebut.

Ini kerana kedua-dua pemain itu akan digantung selepas memungut tiga kad kuning dalam beberapa aksi sebelum ini.

Dengan perkembangan tersebut, skuad Sang Kenari dijangka perlu bersedia dengan gandingan tengah baharu bagi menggalas kekosongan yang ditinggalkan oleh dua pemain itu.

Disebabkan itu, Nafuzi dilihat mempunyai beberapa pilihan pemain boleh digunakan bagi perlawanan tersebut.

Dua pemain yang memiliki potensi mengisi kekosongan tersebut ialah Fadzrul Danel dan Fayadh Zulkifli.

Dari segi gaya permainan, Fadzrul, 25, dengan kemahiran yang lebih menyeluruh dilihat mempunyai kebolehan untuk menggalas tanggungjawab di posisi ditinggalkan Ott.

Malah keupayaannya juga terbukti apabila Nafuzi memberinya peluang untuk bergandingan di bahagian tengah bersama Amirul Hisyam Awang Kechik ketika ketiadaan Ott yang mengalami kecederaan dan perlu disisihkan ketika aksi menentang Perak FC 7 Jun lalu.

352077888_1251602752152333_5207590680621058530_n

Fadzrul (kiri) ketika beraksi menentang Perak FC pada 7 Jun lalu. — Facebook/MFL

Dalam pada itu, bagi Fayadh pula, dia dijangka mengambil posisi ditinggalkan Lee Tuck yang beroperasi di bahagian tengah menyerang skuad Sang Kenari.

Peranan free role sering dimainkan Lee Tuck sememangnya sesuai dengan gaya permainan pemain berusia 24 tahun itu yang memiliki kelincahan untuk mengucar-kacirkan pertahanan lawan.

Untuk rekod, Fayadh mempunyai lima penampilan bersama kesebelasan utama skuad Sang Kenari pada musim ini.

Bagaimanapun, prestasinya dilihat agak terumbang ambing dengan dia dilihat berhadapan kesukaran untuk memberikan sumbangan lebih signifikan dalam membantu pasukan menghasilkan gol.

348670191_640816827470849_2205983622842333376_n

Fayadh (kanan) mendapat tempat sebagai kesebelasan utama skuad Sang Kenari sebanyak lima kali pada musim ini. — Facebook/KDAFC

Namun begitu, potensinya yang dimilikinya dalam memberikan nilai tambah kepada pasukan ketika diperlukan adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan.

Tempoh hampir dua minggu dimiliki Fadzrul dan Fayadh seharusnya digunakan sebaik-baiknya oleh mereka dalam membentuk keserasian di padang latihan dalam persediaan mereka menuju ke perlawanan menentang Terengganu FC.

Untuk rekod, kedua-dua pemain itu pernah diletakkan dengan nilai harga tanda tebus bernilai RM5 juta oleh Kedah ketika mereka berusia 21 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram