[VIDEO] Selepas jaringan mendunia Safawi Rasid, kini Amri Yahya pula dapat perhatian media luar negara


  • Podium
  • Khamis, 22 Jun 2023

Amri ketika menyarung jersi Harimau Malaya menentang Chelsea pada 2013.

JARINGAN pemain sayap skuad kebangsaan, Safawi Rasid ketika membantu Harimau Malaya mengatasi Kepulauan Solomon di Sultan Mizan Zainal Abidin, baru-baru ini mendapat perhatian media antarabangsa.

Media antarabangsa dari Amerika Syarikat, Bleacher Report Football (B/R Football) mencadangkan supaya jaringan minit ke-77, bintang Johor Darul Takzim (JDT) yang dimasukkan Kim Pan-gon sebagai pemain gantian dicalonkan ke Anugerah Puskas.

Genap seminggu selepas gol menarik dari Safawi, kini jaringan sepakan percuma legenda skuad kebangsaan, Amri Yahya pula berjaya menarik perhatian media antarabangsa dari Belanda, 433.

Siapa yang tidak kenal pemain 'otai' Sabah FC, Amri Yahyah, walaupun sudah berumur 42 tahun, namun ketajaman yang dia ada sewaktu zaman muda tidak pernah luntur.

Jaringan sepakan percuma itu sebenarnya berlaku pada 22 Mei lalu dalam satu aksi Piala MFL yang mana Sabah FC berjaya membelasah Kelantan United FC dengan keputusan 4-1 dan salah satu gol Sabah dijaringkan oleh Amri Yahyah.

Amri bermula dari bangku simpanan dan dibawa masuk pada separuh masa kedua selepas menggantikan seorang lagi pemain senior, Gary Steven Robbat yang mana gol tersebut terhasil pada minit ke-91 perlawanan melalui sepakan percuma menarik.

Amri selepas itu memuatnaik gol menarik yang dijaringkan olehnya itu di laman sosial dan sempat berseloroh dengan peminat.

Dia menyatakan niatnya adalah untuk berkongsi pengalaman dengan pemain muda Sabah, namun secara tidak sengaja menjaringkan gol.

Terdahulu, jaringan, Faiz Subri ketika membantu Harimau Kumbang menewaskan Pahang 4-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur pada 2016, membolehkan pemain tersebut mencipta sejarah bola sepak negara dan Asia merangkul Anugerah Puskas FIFA 2016 di Zurich, Switzerland.

Gol Faiz dipilih selepas menerima undian keseluruhan 59.46 peratus menewaskan pesaingnya dari Brazil, Johnath Marlone Azevedo da Silva (22.86 peratus), wakil tunggal pemain bola sepak wanita Daniuska Rodriguez dari Venezuela. (10.01) peratus. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram