PEMAIN sayap muda sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi mendedahkan kesukaran menembusi kesebelasan utama skuad kebangsaan, selepas meledak empat gol dalam kemenangan 10-0 Malaysia menentang Papua New Guinea di Kuala Nerus, Terengganu pada Rabu.
Tonggak jentera serangan Johor Darul Takzim (JDT) berusia 21 tahun itu berkata, bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan negara kendalian Kim Pan-gon, dia bekerja keras bersaing dengan barisan pemain yang lebih berpengalaman.
Selepas kurang menyerlah dalam beberapa perlawanan bersama skuad Harimau Malaya sebelum ini, Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022 itu mengakui semakin memahami dan berasa selesa dengan corak permainan yang dikehendaki Pan-gon.
"Ya (makin selesa), saya sentiasa berlatih betul-betul (kerana) bukan senang nak bermain dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya apabila perlu bersaing dengan pemain-pemain yang lebih berpengalaman daripada saya.
"Saya ambil kesempatan itu (jika diturunkan) bukan sebagai beban tetapi peluang yang berharga buat diri saya,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kuala Nerus, Terengganu pada Rabu.
Pada pertembungan itu, persembahan cemerlang pada separuh masa kedua menyaksikan skuad Harimau Malaya menjaringkan sembilan gol selepas mendahului pada penghujung babak pertama menerusi penalti Muhammad Safawi Rasid.
Gandingan Arif Aiman dan Faisal membuahkan hasil pada babak kedua perlawanan. — Facebook/FAM
Arif Aiman yang masuk sebagai pemain gantian dengan mudah menjaringkan empat gol masing-masing pada minit ke-57, minit ke-60, minit ke-87 dan minit ke-89 sekali gus mengumpul lima gol bersama pasukan negara setakat ini.
Baki lima gol Malaysia antaranya diperoleh menerusi hatrik pemain naturalisasi Paulo Josue sementara dua lagi pemain gantian Mohamad Faisal Abdul Halim dan Daniel Ting masing-masing menjaringkan satu gol.
Meskipun berbangga mencipta hatrik pertamanya di pentas senior, Arif Aiman berkata, kesemua gol yang dijaringkan malam tadi tidak akan hadir tanpa bantuan rakan sepasukan.
"Bagi saya dari babak pertama semua pemain bagi yang terbaik dan (apabila) jurulatih beri saya peluang pada separuh masa kedua ia tiada beza, semua pemain (tetap) beri yang terbaik pada perlawanan ini,” katanya yang mengakui Pan-gon berjaya menaikkan semangat pasukan sewaktu rehat.
Minggu lepas, Arif Aiman yang merupakan produk Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang meraih jaringan sulung bersama pasukan negara ketika membantu Malaysia menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 pada satu lagi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Kuala Nerus.
Mengulas lanjut, dia berkata, kini fokusnya adalah untuk membantu JDT layak ke final Piala FA seterusnya menjulang gelaran juara menjelang aksi separuh akhir berdepan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor Isnin depan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram