Fandi: Rasanya seperti kami baru menang final satu pertandingan piala


  • Podium
  • Sabtu, 10 Jun 2023

Fandi bersama-sama barisan anak buahnya. — Facebook/ Sri Pahang FC

NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

STADIUM Darul Makmur bergema. Atap stadium ini boleh terangkat dengan pekikan dan juga sorakan daripada penyokong-penyokong Sri Pahang,” kedengaran suara latar pengulas Astro Arena, Zainal Abidin Rawop, sejurus Kpah Sherman menanduk masuk jaringan pada minit ke-90+4.

“Tujuh gol terhasil dalam tempoh tiga minit yang terakhir. Sri Pahang meledak dengan dua gol yang akan membawa mereka kembali ke landasan kemenangan,” sambungnya merujuk kepada kekalahan skuad Tok Gajah kepada Kuala Lumpur City FC dan Johor Darul Takzim (JDT) sebelum itu.

Seluruh pegawai dan barisan pemain simpanan tuan rumah turut berkejaran ke bahagian terdekat padang berhampiran bendera kecil penanda ruang sepakan sudut di sebelah kiri untuk meraikan gol itu bersama Sherman dan rakan sepasukan.

WhatsApp Image 2023-06-10 at 18.41.01

Pasukan Sri Pahang meraikan kemenangan ketika menentang The Jangs. — Facebook/ Sri Pahang FC

Ketua jurulatih, Fandi Ahmad, kelihatan tertinggal cermin matanya sambil pengurus, Datuk Dollah Salleh, tercungap-cungap menyertai kelompok itu tapi keadaannya seolah-olah tiada siapa yang mahu terlepas meraikan detik kemenangan berkenaan.

“Rasanya tidak ubah seperti kami baru menang satu final pertandingan piala,” kongsi Fandi dengan Laptop Cabuk. “Ia satu kebangkitan yang sangat menakjubkan dan saya perlu berterima kasih kepada semua pemain di atas kerja keras mereka.”

Negeri Sembilan mendahului tiga kali hasil gol-gol Herold Goulon (m-8) dan Shahrel Fikry Md Fauzi (m-15) sebelum Stefano Brundo merapatkan kedudukan 1-2 menerusi sepakan penalti pada minit ke-24 selepas Baqiuddin Shamsudin dibentes.

“Wow! 25 minit pertama yang banyak drama. Dua gol, satu kad kuning, satu gol yang tidak dikira (Michael Glassock dihukum ofsaid), dan kini satu sepakan penalti pula...” rumus Zainal Abidin dalam ulasannya, disusuli gol Casagrande seminit selepas itu untuk skuad Jang kembali 3-1 di depan.

WhatsApp Image 2023-06-10 at 18.40.59

Penjaga gawang Tok Gajah menangkap kemas bola daripada kawalan pihak lawan. — Facebook/ Sri Pahang FC

Dua faktor, bagaimanapun, kemudian menyaksikan keadaan itu diterbalikkan dalam separuh masa kedua, dengan Fandi menurutkan rasa sedap hatinya untuk melakukan perubahan-perubahan yang diperlukan.

“Saya beritahu pemain-pemain di dalam bilik persalinan (ketika rehat separuh masa) yang kami tidak boleh terus jadi pasukan untuk satu separuh masa saja. Kami sangat mengecewakan dalam separuh pertama itu.

“Seperti perlawanan (terdahulu) dengan KL, kami lambat bermula hingga kami bolos dua gol awal disebabkan tiada kawalan ketat pemain dan pertahanan yang sangat rapuh. Kami bergelut untuk tangani bola-bola jauh lawan.

“Jadi, saya beritahu pemain-pemain untuk beri 200 peratus dalam separuh kedua. Ketinggalan dua gol, saya katakan yang kami belum terlambat dan hanya perlu gandakan serangan. Kepada wingback, saya beritahu supaya lebih banyak buat overlapping,” katanya.

WhatsApp Image 2023-06-10 at 18.41.00

Antara aksi menarik pemain Tok Gajah dan The Jangs. — Facebook/ Sri Pahang FC

Empat penggantian pemain turut dilakukannya – mula-mula dengan penjaga gol kedua, Zarif Irfan Hashimuddin, di tempat Izham Tarmizi Roslan dan pemain tengah, Zuhair Aizat Nazri, menggantikan Nor Azam Azih yang masih kurang cergas – sejurus permainan bersambung.

Kemudian, Fandi membawa masuk dua pemain barisan depan, David Rowley dan Shamie Iszuan Amin, serentak pada minit ke-78.

Penggantian berkenaan meniupkan nafas kebangkitan buat Sri Pahang yang mendapat gol keduanya menerusi tandukan tajam Rowley pada minit ke-80 dan seterusnya sepakan percuma gemilang Brundo mengikat kedudukan 3-3 tepat pada minit ke-90.

Selebihnya terserah kepada Kevin Ingresso untuk melambungkan satu sepakan percuma betul-betul ke depan pintu gol dan sedia menanti ialah Sherman yang memastikan Sikh Izhan Nazrel mengutip bola dari dalam pintu golnya bagi kali keempat, empat minit dalam masa pemberhentian.

Fandi menghuraikan Sri Pahang tidak lagi melepaskan bola dengan mudah dalam separuh masa kedua itu, mengambil alih penguasaan di bahagian tengah sambil seluruh pasukan memberikan segala-gala yang mereka ada.

“Kebangkitan kami mengagumkan. Saya beritahu Dollah apabila mereka (NSFC) buat penggantian (empat pemain dari minit ke-63), mereka mahu bermain bertahan. Dan kami boleh terus menekan mereka habis-habisan.

“Dan apabila kami mendapat sepakan percuma (Brundo), saya sudah terasa kami akan mendapat gol. Kami banyak lakukan latihan sepakan percuma sehari sebelum itu dan gerak hati saya terbukti betul.

“Selepas itu, saya beritahu Dollah lagi yang seri adalah satu keputusan menakjubkan. Tapi ketika itu, kami masih punya masa dan pemain-pemain telah berjuang bermati-matian untuk memenangi perlawanan ini,” tambahnya.

WhatsApp Image 2023-06-10 at 18.41.00 (1)

Barisan pemain Sri Pahang FC meraikan kemenangan seolah-olah menang piala. — Facebook/ Sri Pahang FC

Pada penghujungnya, seperti diakui Fandi, ia lebih daripada satu kelegaan apabila wisel penamat ditiupkan dengan keputusan 4-3 memihak kepada mereka.

“Kami tidak mahukan hatrik kekalahan kerana ia akan sukar untuk menaikkan semangat pemain-pemain jika itu berlaku. Syukurlah tempoh empat minit terakhir itu memberikan kami dua gol – cukup sebab untuk seluruh pegawai dan pemain di barisan tempat duduk pemain simpanan meraikannya.

“Ia satu kemenangan yang kami perjuangkan dengan sukar. Tidak hairan jika kami rasakan seperti menang satu perlawanan besar dalam final,” katanya lagi.

Seusai perlawanan, pengulas tersohor, Zainal Abidin, tepat sekali menyimpulkannya: “What a game (dalam) Liga super kita sebelum berehat (untuk perlawanan antarabangsa dalam kalendar FIFA).

“Tiga mata yang hampir-hampir menjadi milik negeri Sembilan terlepas begitu saja dalam tempoh dua minit yang begitu kejam kepada mereka.

“Wow! Satu game yang sungguh-sungguh mengujakan. 4-3 kemenangan Sri Pahang menumpaskan Negeri Sembilan.” — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram