NUKILAN 'Laptop Cabuk' menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
DARIPADA asalnya seorang, kemudian dua, kini Selangor FC memiliki tiga penjaring berganda. Usah cemburu andai ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, mampu tersenyum lebar dengan persenjataan pasukannya yang terus bertambah.
Tanpa niatnya untuk menonjolkan hanya seorang pemain, jurulatih berusia 55 tahun itu yang mempertahankan tiada “primadona” dalam skuadnya, bagaimanapun mengalu-alukan kemasukan pemain tengah, Yohandry Orozco, dalam senarai penjaring.
Bukan satu tapi dua gol ketika menyingkirkan Negeri Sembilan FC (NSFC) 3-1 dalam aksi suku akhir Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu untuk menampilkannya selaku penjaring berganda Selangor FC yang ketiga selepas Rauf Salifu dan Mukhairi Ajmal Mahadi.
Aksi menarik penyerang Gergasi Merah, Orozco yang mendapat perhatian penyokong bola sepak tempatan. — Facebook
Orozco, pemain kelahiran Venezuela berusia 32 tahun yang didatangkan dari kelab Deportes Tolima dalam Liga Primera Colombia pada pertengahan Februari lalu, barangkali mengambil sedikit masa untuk membuat kehadirannya dirasai.
Namun, latar belakangnya bukan sembarangan kerana pernah tampil bersama skuad kebangsaan Venezuela di bawah kendalian ketua jurulatih, Cesar Farias, yang menduduki tempat keempat dalam Copa America 2011 yang dianjurkan Argentina.
Mengakui sedikit terkejut dengan dua gol sumbangan pemain itu, Cheng Hoe memberitahu Laptop Cabuk: “Adalah penting untuk pemain dalam kesebelasan permulaan menunjukkan prestasi di luar jangkaan kerana ia akan menaikkan semangat rakan-rakan sepasukan.
“Yohandry memang memiliki teknik yang baik di samping sentiasa bekerja keras di dalam latihan pasukan mahupun latihan tambahannya secara bersendirian.”
Sekitar aksi dalam perlawanan Gergasi Merah menentang NSFC dalam saingan Piala FA. — Facebook
Apa yang dipertontonkannya dalam pertemuan dengan NSFC itu harus meyakinkan penyokong skuad Gergasi Merah terhadap keupayaannya untuk beraksi baik, sama ada selaku pemain tengah menyerang mahupun berperanan di barisan depan.
Seawal minit kelima lagi, pemain berjersi nombor 16 itu sudah menguji penjaga gol tuan rumah, Sikh Izhan Nazrel, dengan sepakan rendah kaki kirinya dari luar petak penalti, yang bagaimanapun diselamatkan.
Dia mengesahkan kehadirannya sekali lagi pada minit ke-60. Mengutip satu hantaran Faisal Abdul Halim, bola digerakkan ke kawasan penalti oleh Orozco yang menyudahkannya dengan rembatan kaki kanan ke penjuru kanan pintu gol Sikh Izhan.
“Untuk gol pertamanya itu, Yohandry menggunakan kaki kanannya yang lebih lemah. Tanpa mengalihkan bola ke kaki kirinya, ia menunjukkan tahap keyakinannya semakin lama semakin meningkat,” kata Cheng Hoe mengenai jaringan itu.
Kemudian pada minit ke-86, sekali lagi paduan tenaga Faisal dan Orozco membutirkan gol ketiga Selangor FC, cuma kali ini ia lebih istimewa.
Menerima umpanan sedikit di hadapan garis petak penalti, Orozco menolak bola dua langkah ke hadapan sebelum melepaskan sepakan kaki kiri kencang yang menerjah masuk sedikit di bawah palang.
“Kualiti sebenar Yohandry Orozco sudah pun tiba. Jaringan ketiga yang dicari-cari akhirnya dijumpai...” kata pengulas siaran langsung televisyen sebagai menyimpulkan gol itu sambil Sikh Izhan dilihat menggagau angin sebelum tertiarap.
Kedua pasukan menampilkan aksi persembahan yang cemerlang untuk layak ke separuh akhir Piala FA. — Facebook
Cheng Hoe turut menawarkan jawapan kenapa pemain tengahnya itu kurang melakukan percubaan seumpamanya – sepakan dari luar petak penalti – di sebalik sudah diturunkan dalam sembilan perlawanan terdahulu, dimulai dengan menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada 17 Mac.
Seperti penyerang, Ayron Del Valle yang didatangkan dari Colombia, katanya, Orozco memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan budaya tempatan di samping dia antara yang paling lewat menyertai pasukan.
“Lagipun, bukannya dia ragu-ragu untuk membuat percubaan tapi tidak banyak peluang seperti itu yang dimilikinya dalam perlawanan terdahulu.
“Berdepan Negeri Sembilan, peluang-peluang lebih memihak kepadanya dan kita lihat bagaimana dia menggunakan peluang itu dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Selangor FC meraikan kemenangan sekali gus layak ke separuh akhir Piala FA. — Facebook
Di sebalik tidak mempunyai rekod jaringan dalam saingan Liga Super 2023, pemain berketinggian 1.64 meter itu sudah merekodkan tiga bantuan jaringan.
Ketua jurulatih itu turut teruja dengan bertambahnya penjaring berganda dalam pasukan setelah pemain import berusia 20 tahun dari Ghana, Rauf Salifu, mendahului giliran itu ketika Selangor FC menundukkan Kelantan FC 3-0 dalam aksi liga pada 9 April.
Ini dituruti oleh pemain skuad bawah 23 tahun kebangsaan, Mukhairi Ajmal, yang menyumbangkan gol berganda dalam kemenangan 4-0 ke atas Sri Pahang FC dalam aksi pusingan kedua Piala FA pada 15 April hingga mendorong ketua jurulatih lawan, Fandi Ahmad, menggelar persembahan tuan rumah sebagai “luar biasa”.
“Saya sentiasa menekankan struktur pasukan dan corak permainan. Dalam hubungan ini, sudah tentu sumbangan penjaring berganda sentiasa dihargai.
“Keharmonian dan persefahaman antara pemain juga amat penting. Kami harus terus percaya kepada kemampuan sendiri dan terus bekerja keras untuk meningkatkan keupayaan pasukan.
“Adalah menjadi tanggungjawab barisan kejurulatihan untuk terus mengerah pemain-pemain sehingga kami mencapai tahap yang dihajati,” kata Cheng Hoe lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,