
PENGUMUMAN mengejut daripada pasukan kerdil Liga Super, PDRM FC mengenai keputusan untuk menggugurkan ketua jurulatih, Azzmi Aziz jelas mencetuskan tanda tanya pelbagai pihak.
Sepanjang berada di bawah kendalian pengendali berusia 47 tahun itu, skuad Sang Saka Biru mencatatkan satu musim yang cukup bergaya dengan kini mereka berada di tangga kelapan.
Tidak cukup dengan itu, kemenangan mengejut yang direkodkan ke atas pasukan-pasukan gergasi tanah air, seperti Sabah FC dan Selangor FC semestinya sukar dilupakan.
Bagaimanapun, dengan khabar angin mengatakan terdapatnya konflik antaranya dan pihak pengurusan, Azzmi akhirnya sah meninggalkan PDRM FC pada Selasa lalu.
Keputusan tersebut semestinya memberi kesan mendalam buat kelab Lembah Klang itu, terutamanya dari segi moral pemain memandangkan Azzmi cukup popular dalam kalangan mereka.
Keputusan menggugurkan Azzmi Aziz mencetuskan 1,001 persoalan. — Stadium Astro
Antara yang dilihat terkesan dengan tindakan itu ialah kapten pasukan, Azmi Muslim memandangkan kehadiran jurulatih berkenaan memberi nafas baharu buat kariernya.
Dia yang kini sudah berusia 36 tahun terus diberikan peranan penting buat skuad Sang Saka Biru dengan sudah sembilan kali diturunkan dalam saingan Liga Super.
Tambahan pula, kelibatnya sebagai seorang pemimpin di atas padang juga semestinya didambakan rakan sepasukan melihat kepada tahun-tahun perkhidmatannya dalam arena bola sepak tanah air.
Jadi, memandangkan kedua-dua individu tersebut sudah berpisah, tidak hairanlah apabila terdapat khabar angin yang mula mengaitkan Azmi dengan pasukan lain.
Berdasarkan pemantauan di media sosial, bek kanan tersebut dikatakan mula dirisik sebuah lagi pasukan bergelut, Perak FC yang berhasrat untuk menguatkan lagi benteng pertahanan mereka.
Azmi Muslim merupakan tonggak utama skuad The Cops ketika ini. — Facebook/PDRM FC
Hal itu berpunca daripada hantaran sebuah laman Facebook penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG), Silver Retro yang menghangatkan lagi ura-ura terbabit.
"Ketua pasukan PDRM FC, Azmi Muslim dijangka memeterai kontrak bersama pasukan Perak FC ketika jendela perpindahan pemain dibuka Julai ini.
"Mengikut rekod, bakat yang dicungkit daripada program realiti MyTeam itu yang kini berusia 36 tahun juga pernah mewakili pasukan Kedah dan Johor Darul Takzim (JDT) pada 2012," tulisnya.
Selain mempunyai pengalaman luas di peringkat kelab, pemain kelahiran Tanjung Malim, Perak itu turut berkesempatan mewakili skuad kebangsaan sebanyak 19 kali.
Ini termasuk ketika mereka melangkah ke final Piala AFF 2014 dengan dia memainkan peranan tersendiri, namun tewas di tangan Thailand dalam perlawanan akhir.
Khabar angin tersebut diterima baik daripada rata-rata penyokong skuad TBG memandangkan benteng pertahanan mereka cukup rapuh musim ini.
"Dia pun orang Tanjung Malim, mungkin dia nak berbakti buat negeri kelahirannya. Tetapi, dia punya gaya permainan lebih baik jika hendak dibandingkan dengan kapten kita, Hafizal (Mohamad)," kata Syukri Naim.
"Tak kisah berapa sekali pun umurnya, janji mempunyai tahap kecergasan yang baik. Ukuran bukan hanya pada umur," ujar Noor Syahnizam.
"OK je dia ni, masih lagi dapat bermain dalam Liga Super. Kawan-kawan lamanya dahulu ramai yang sudah tidak lagi bermain atau beraksi dalam Liga M3," kata Din Tachanka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram