Mantap bersama HM, fans pelik bekas jeneral JDT kurang menjadi di Sabah... Mungkin ini 3 sebabnya


  • Podium
  • Jumaat, 23 Jun 2023

Pemain skuad Harimau Malaya mempamerkan aksi bertenaga dan garang ketika menentang Solomon Islands baru-baru ini. — Facebook/FAM

HARIMAU Malaya menunjukkan persembahan berkualiti mereka dalam dua aksi persahabatan edisi Jun ini yang mana anak-anak buah Kim Pan-gon melakar kejayaan di bumi Terengganu.

Perlawanan pertama menentang Solomon Islands pula, Harimau Malaya berhasil menundukkan pasukan berada di tangga ke-136 dunia itu 4-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Nerus, Terengganu.

Selepas itu, skuad kebangsaan berpesta gol menumpaskan Papua New Guinea 10-0 dalam aksi antarabangsa Tier 1 di SSMZA pada Selasa baru-baru ini di venue sama.

Pemain muda Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman dan penyerang naturalisasi, Paolo Josue antara nama yang mencuri perhatian sepanjang dua perlawanan antarabangsa itu berikutan menyumbang lebih empat jaringan untuk aksi tersebut.

Selain dua pemain di bahagian serangan itu, nama tonggak tengah, Stuart Wilkin juga tidak terkecuali daripada menjadi bualan penyokong berikutan aksinya yang diibaratkan seperti ‘tiga jantung’ oleh pengikut Harimau Malaya.

Persembahan pemain warisan England-Malaysia itu ketika aksi bersama Sabah FC bagaimanapun dikatakan tidak memuaskan seperti yang dipamerkannya ketika menyarung jersi kebangsaan.

Stuart 1

Wilkin cemerlang bersama skuad Harimau Malaya. — Facebook/FAM

Berikut tiga faktor yang dipersetujui oleh para penyokong Sang Badak mengenai faktor Wilkin kurang menyerlah bersama Sabah FC:

1. Tidak mempunyai keserasian

Penyokong berpendapat bahawa pemain berusia 25 tahun itu kelihatan seperti tidak mempunyai keserasian bersama rakan sepasukannya di skuad The Rhinos.

Berdasarkan pemerhatian, Wilkin pada musim ini dilihat seperti tidak mempunyai keserasian dengan pemain baharu, Telmo Castanheira yang mana mungkin pemain dari Portugal itu juga masih tidak dapat menyesuaikan diri sepenuhnya.

Manakala, gandingannya bersama ketua pasukan, Baddrol Baktiara pula tidak dapat diteruskan seperti musim lepas kerana kebelakangan ini, pemain bernombor jersi tujuh itu banyak diletakkan di bahagian serangan.

Stuart 3

Penyokong berasakan Wilkin kelihatan seperti tidak mempunyai keserasian bersama rakan sepasukannya di skuad The Rhinos. — Facebook/SabahFC

2. Tidak diberi kepercayaan

Selain daripada isu keserasian, pemain berketinggian 1,80 meter itu juga seperti kurang mendapat kepercayaan pada musim ini susulan Wilkin dilihat banyak membantu di bahagian bertahan daripada serangan.

Pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee lebih gemar meletakkan Castanheira untuk membantu bahagian serangan daripada Wilkin.

Namun begitu, dengan persembahan cemerlang Wilkin bersama skuad kebangsaan, posisi tonggak tengah itu mungkin berubah pada pusingan kedua liga nanti.

3. Pemain gantian

Tambahan pula, penyokong juga senada bahawa Wilkin yang banyak diturunkan sebagai pemain gantian merupakan antara punca bekas tonggak JDT II itu kurang menyerlah.

Musim lepas, Wilkin menjadi kesebelasan utama sebanyak 14 kali dalam 18 kali dia diturunkan dalam aksi Liga Super dan sempat merekodkan dua jaringan gol.

Jika dibandingkan dengan musim ini, Wilkin diturunkan sebanyak tujuh kali sebagai pemain utama dengan tampil dalam 14 perlawanan Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram