NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
TIADA satu malam pun sebelum perlawanan di antara pasukan masing-masing yang mereka tidak makan malam bersama, dengan atur cara itu seakan-akan sudah menjadi rutin untuk mereka berbual panjang mencakupi apa saja daripada keluarga hinggalah kepada bola sepak.
“Tiada rahsia di antara kami berdua berkaitan pasukan masing-masing. Kami tahu semuanya mengenai kekuatan dan kelemahan kedua-dua pasukan,” kata ketua jurulatih Kuala Lumpur City (KLC) FC, Bojan Hodak, menjelang pertemuan separuh akhir Piala FA dengan Terengganu FC di tempat lawan pada Ahad.
“Meskipun begitu, ia tidak akan membuat tugas kami untuk berdepan Kuala Lumpur menjadi lebih mudah,” kata ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner, menghormati rakan sejawatannya itu yang berpengetahuan lebih luas mengenai bola sepak Malaysia kerana lebih awal berada di negara ini.
Bojan didatangkan ke Malaysia untuk mengendalikan UPB-MyTeam, yang dibentuk menerusi satu rancangan televisyen realiti, di antara 2006-2009 manakala Steinbruckner atau panggilan ringkasnya,
Tomi, menyusulinya sebagai ketua jurulatih T-Team pada 2015.
Sebagai pemain pula, Tomi kali terakhir beraksi bersama Fandi Ahmad untuk kelab angkatan tentera, SAFFC, pada waktu yang sama Bojan memperkuatkan Jurong FC sebagai bek tengah dalam Liga Singapura pada 1999.
“Dia seorang pemain pemain tengah menyerang yang sangat terkenal dalam Liga-S pada waktu itu,” ujar Bojan mengenai sahabatnya itu.
“Oleh kerana kami tinggal berdekatan di Singapura, kami juga sering keluar makan bersama dan dari situlah persahabatan kami terjalin, kebetulan kami sama-sama dari Croatia.”
Menggelarkan perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terengganu itu umpama “perang saudara”, kedua-duanya bagaimanapun sependapat bahawa tidak banyak yang membezakan kedua-dua pasukan, yang memungkinkan keputusan paling tipis.
“Ia akan banyak bergantung kepada ‘form’ pasukan masing-masing sepanjang perlawanan. Saya percaya ia akan menjadi satu perlawanan yang sengit dan menarik. Terengganu sangat liat ketika menentang Kuala Lumpur di tempat mereka sendiri.
“Mungkin perlawanan ini akan ditentukan oleh hanya satu kesilapan semata-mata kerana tiada siapa yang memiliki kelebihan besar. Dan pasukan yang melakukan kesilapan itu akan berada di pihak yang kalah,” kongsi Bojan, 52, dengan Laptop Cabuk.
Bojan ketika dia mengendalikan UPB-MyTeam di antara 2006-2009. — Facebook
Steinbruckner, 56, turut bersetuju sambil menjangkakan persaingan dalam sepakan percuma di antara kapten KLC FC, Paulo Josue, dan pemain sayapnya sendiri, Sony Norde, boleh menjadi pemutus dalam perlawanan itu.
“Sepakan percuma Sony lebih berkisar kepada teknik dan kekuatan, Paulo pula lebih kepada ketepatan. Tiada siapa boleh kata siapakah yang lebih baik kerana kedua-duanya sudah membuktikan keupayaan menjaringkan gol dengan cara masing-masing.
“Mana-mana daripada pemain ini, jika mendapat sepakan percuma di luar petak penalti, tentunya akan menimbulkan debaran kepada mereka yang menonton. Dalam perlawanan terakhir, Sony dan Paulo menjaringkan gol daripada sepakan percuma,” katanya.
Norde menyempurnakannya pada minit ke-28 perlawanan dengan Johor Darul Takzim (JDT), 9 Jun lalu, apabila sepakan derasnya terus menerjah jaring – pemain kedua yang dapat menewaskan penjaga gol JDT, Syihan Hazmi Mohamed, musim ini.
Dua hari sebelum itu, Josue memanfaatkan sepakan percuma kaki kirinya sedikit di luar kotak penalti untuk gol kemenangan KLC FC pada minit ke-76 ketika menundukkan Sri Pahang FC 2-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Menurut Tomi, dalam satu perbualannya baru-baru ini, Bojan menyatakan rasa terkejut dengan prestasi Terengganu FC yang dianggapnya tidak konsisten di sebalik memiliki barisan pemain yang baik.
“Tapi kami sebenarnya sebuah pasukan yang bagus dan itu diakuinya sendiri. Saya juga hormati KL sebagai pasukan yang bagus, tambahan apabila pemain barisan depannya, (Herlison) Caion, (Romel) Morales dan (Tchetche) Kipre sedang melalui rentetan cemerlang,” ujarnya.
Carta liga juga tidak berbohong dengan meletakkan KLC FC di tangga keenam dengan 23 mata, diikuti rapat oleh Terengganu FC di tangga ketujuh dengan perbezaan tiga mata sebagai menunjukkan kedua-dua pasukan itu hampir setanding.
Namun, dibandingkan dengan tuan rumah itu yang kehilangan pemain pertahanan, Sardor Kulmatov, gara-gara kecederaan lutut yang serius buat kali kedua, skuad Warga Kota itu pula hampir mendapat kembali skuad penuhnya kecuali Declan Lambert yang masih menjalani rawatan.
“Ia sentiasa satu kelebihan buat mana-mana pasukan untuk mendapat kembali skuad penuhnya ketika liga memasuki pusingan kedua. Ini penting kerana kedalaman pasukan diperlukan untuk menghadapi Piala FA dan Piala Malaysia.
Tomislav ketika menjadi ketua jurulatih T-Team pada 2015. — Twitter
“Jika anda tanya, saya lebih suka menumpukan kepada salah satu saingan piala berbanding liga kerana di situlah kami lebih berpeluang untuk memburu gelaran juara,” kata Bojan, yang enggan mengulas gurauan sahabatnya itu mengenai pertemuan Terengganu FC-Selangor FC dalam final Piala FA sebagai memberi lebih keadilan.
Tomi sebelum ini berseloroh oleh kerana Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri sudah dipilih sebagai venue perlawanan akhir Piala FA pada 22 Julai, pertemuan Terengganu FC-Selangor FC akan menjadikan SSI sebagai venue berkecuali yang tidak memberi kelebihan kepada sesiapa.
Harus kepada Bojan, pertemuan KLC FC-Selangor FC dalam final itu juga akan menepati sifat yang sama.
“Kita akan sama-sama lihat nanti siapa yang lebih berhak,” katanya lagi.
“Sekalipun jika Kuala Lumpur yang layak, saya tetap akan kekal bersahabat dengannya,” cetus Tomi pula. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram