Sang Badak tak sokong keganasan, CEO Sabah FC kongsi status Rizal Ghazali


  • Podium
  • Rabu, 21 Jun 2023

Rizal Ghazali kini menjalani latihan seperti biasa bersama Sabah FC. — Facebook/Sabah FC

KEMELUT isu pergaduhan di antara Rizal Ghazali dan teman wanitanya masih belum berakhir apabila bekas pemain kebangsaan itu dipanggil oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor pada Isnin.

Rizal mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merosakkan telefon bimbit dan mencederakan kekasihnya di sebuah hotel, dua minggu lalu.

Pemain berusia 31 tahun yang beraksi dalam Liga Super itu didakwa memukul Hani Farhana Hasrul Sani, 37 atau lebih dikenali sebagai Dr. Hana dengan melakukan perbuatan khianat serta merosakkan telefon bimbit yang menyebabkan kerugian sekitar RM4,500.

Disebabkan isu Rizal ini, ramai penyokong memberikan pandangan peribadi masing-masing terhadap tindakan yang boleh diambil oleh pihak kelab kepada bekas pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu.

Juanbudiman

Tangkap layar ciapan @Juanbudiman. Twitter

Salah seorang penyokong, @Juanbudiman di Twitter pada Selasa memuat naik satu ciapan mengkritik pihak pengurusan Sabah yang didakwa tidak peduli dengan isu yang sedang melanda salah seorang pemain.

"Apa perasaan peminat-peminat Sabah apabila dapat tahu kelab kesayangan mereka tutup sebelah mata dan masih gajikan seorang pemain.

"Yang kini telah didakwa melakukan keganasan terhadap wanita? Business as usual kata CEO," ciapnya pada Rabu.

Tampil mempertahankan nama Sabah FC serta Rizal Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Marzuki Nasir berkata, Sang Badak tidak menyokong sebarang bentuk keganasan sehinggalah individu itu terbukti bersalah.

"Kita tak sokong keganasan tapi belum ditentukan bersalah, mana boleh kita jatuhkan hukuman.

"Kes ini bukan macam Greenwood yang dah terbukti pukul kekasihnya sehingga ada kesan jadi jangan samakan dengan Rizal.

"Kalau didapati bersalah, barulah kita bincang kemudian dengan Rizal.

"Saya rasa tidak elok kita masuk campur kerana ia melibatkan hal peribadi Rizal" katanya pada Majoriti.

Rizal ketika menjalani latihan bersama Sabah. Facebook/Sabah FC

Ditanya mengenai perkembangan terkini Rizal, Marzuki berkata, pemain itu menjalani latihan seperti biasa dan pihak pengurusan bertegas untuk tidak mencampuri sebarang urusan mahkamah.

"Setakat ini dengan ketua jurulatih seperti biasa Rizal masih meneruskan latihan dengan pasukan.

"Berkenaan mengambil tindakan terhadap Rizal, tak akan kita nak ambil tindakan tatatertib jika pemain itu bergaduh dengan isteri?

"Selagi dia tidak mencemarkan nama Sabah FC kita tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap pemain.

"Rizal masih meneruskan latihan seperti biasa kita tak nak mencampuri urusan mahkamah," jelasnya.

Baddrol (belakang) menemani Rizal ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Dalam pada itu, Marzuki sempat memuji persahabatan di antara Baddrol Bakhtiar dan Rizal yang sanggup menemani bekas rakan pasukannya di Kedah itu.

"Kita patut mencontohi persahabatan mereka berdua yang sanggup susah dan senang bersama.

"Begitu juga dengan penyokong, kita perlu ada susah dan senang bersama kerana hidup ini macam roda," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram