Duit insentif punca kelab Liga Super bergolak


  • Podium
  • Jumaat, 23 Jun 2023

Liga Super musim ini menyaksikan isu perebutan duit insentif antara yang menjadi pergolakan dalam kelab. — Gambar hiasan

KEMELUT kewangan, isu pengurusan dan kejurulatihan adalah antara perkara yang menjadi duri dalam daging buat kelab bola sepak Liga Super sejak berzaman-zaman.

Namun, bukan selalu kita dengar isu berkaitan perebutan wang insentif kemenangan perlawanan bola sepak menjadi punca pergolakan sesebuah kelab hingga menyebabkan ada pihak tidak berpuas hati malah lebih menyedihkan, jurulatih turut menjadi mangsa keadaan.

Meskipun demikian, itulah yang terjadi kepada sebuah kelab tempatan yang tiba-tiba sahaja bergolak lantaran dikatakan berpunca daripada perebutan duit insentif yang diraih setelah berjaya memenangi sebuah perlawanan baru-baru ini.

Kalau dalam bola sepak, duit insentif itu bukan perkara baharu, sebaliknya menjadi kebiasaan buat pemain dan jurulatih menerimanya sebagai tanda penghargaan terhadap usaha gigih dan kerja keras mereka.

Lebih-lebih lagi jika insentif itu ditawarkan kepada pasukan yang dilihat kerdil untuk mendapatkan kemenangan di luar jangkaan ke atas lawan yang lebih besar.

Namun, kepada siapa pemberian itu didedikasikan, sama ada pemain kesebelasan utama, pemain simpanan mahupun jurulatih, ia terpulang kepada pihak yang menghadiahkannya.

Lazimnya, pihak pengurusan pasukan, termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) kelab, tidak termasuk dalam senarai penerima insentif berkenaan.

Jadi, berbalik kepada isu perebutan wang insentif tadi, Majoriti difahamkan, isu timbul apabila ada dakwaan wujud campur tangan pihak lain di peringkat pengurusan yang mahu merasai sebahagian daripadanya sedangkan peruntukan tersebut bukan untuk mereka.

Berikutan pengagihan duit tersebut tidak dibuat seperti yang diarahkan, penyumbang bertindak menarik balik pemberian insentif itu yang menyaksikan pihak tidak berkenaan berputih mata untuk merasai habuan itu.

Hal tersebut mendatangkan rasa tidak puas hati dan akibatnya berlaku pergolakan dalaman membabitkan pengurusan dan pihak kejurulatihan hingga pasukan terkena tempias tatkala prestasi skuad berada di tahap yang boleh dibanggakan.

Tentunya hal itu mendatangkan tanda tanya kepada ramai pihak khususnya yang mengikuti perkembangan kelab Liga Super tanah air musim ini.

Apa yang boleh dikatakan, memang ada sisi positif dalam bola sepak tetapi dengan berlaku perkara sedemikian, sisi gelap sukan itu terserlah di mata peminat bola sepak tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram