‘Coach power’ ingat nak naik gaji, rupa-rupanya disuruh berhenti


  • Podium
  • Rabu, 21 Jun 2023

Bekas pengendali PDRM FC, Azzmi Aziz. — Facebook/ PDRM FC

KEJUTAN direhatkan daripada tugas ketua jurulatih PDRM dengan tidak semena-mena belum pun reda, Azzmi Aziz berkongsi pula detik-detik melucukan yang dianggapnya mengubati sedikit kegundahan yang sedang dilaluinya.

Dipanggil menghadap pengurusan PDRM FC di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak pada petang Isnin, sangkaannya ialah dia akan diberi surat kenaikan gaji yang pernah dijanjikan ketika dia mula-mula menandatangani kontrak setahun pada Januari lalu.

azzmi azizi

Bekas ketua jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz. Facebook/ PDRM FC

Sebaliknya, dia diberi surat bertarikh 19 Jun ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PDRM FC, ASP Mohamad Hafiz Zainal Abidin, yang memaklumkan dia direhatkan daripada tugas ketua jurulatih bermula serta-merta.

“Saya sedang bersiap-siap untuk memulakan latihan pada petang Isnin apabila dipanggil ke pejabat PDRM FC (di Pulapol). Yang ada ketika itu ialah CEO (Mohamad Hafiz), COO (Mohd Shukri Ismail) dan penasihat undang-undang (Nazri Saad mengikut pendaftaran pasukan).

“Kedua-dua yang lain itu tidak berkata sepatah pun dan hanya penasihat undang-undang yang memaklumkan pengurusan mahu melakukan penstrukturan semula pasukan dan saya direhatkan dengan serta-merta.

“Tidak ada apa-apa penjelasan melainkan saya diberitahu yang saya akan dibayar gaji macam biasa. Selepas bersalaman dengan ketiga-tiganya, saya pun terus meninggalkan mereka,” ceritanya kepada Laptop Cabuk.

WhatsApp Image 2023-06-21 at 22.41.22 (1)

Sekitar sesi latihan skuad Sang Saka Biru. Facebook/ PDRM FC

Jurulatih berusia 48 tahun itu baru direhatkan sebagai ketua jurulatih berkuatkuasa Isnin di atas apa yang didakwa sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula pasukan.

Tiada pengumuman rasmi, tiada juga alasan dan tiada sidang media pengurusan PDRM FC yang dinanti-nantikan untuk mendapatkan pencerahan di sebalik keputusan mengejut berkenaan.

Kepada kemungkinan dia direhatkan kerana meminta kenaikan gaji, Azzmi menganggap perkara itu tidak masuk akal kerana dia sekadar menuntut janji yang dibuat Mohamad Hafiz kepadanya ketika dia mula-mula menandatangani kontrak dengan PDRM FC, Januari lalu.

“Ingatkan bila dah capai KPI (Petunjuk Prestasi Utama) sebanyak 15 mata bagi pusingan pertama liga, saya dapatlah naik gaji sedikit. Rupa-rupanya pengurusan ada rancangan lain dengan memberi saya surat direhatkan daripada kerja,” ujarnya.

WhatsApp Image 2023-06-21 at 22.41.22

Sesi latihan barisan pemain The Cops. Facebook/ PDRM FC

Menyorot kembali janji Mohamad Hafiz, Januari lalu, Azzmi berkata CEO pasukan itu memintanya untuk menjalankan tugasnya untuk empat atau lima perlawanan terlebih dahulu sebelum prestasi pasukan dinilai dan gajinya dinaikkan.

Namun, katanya, suratnya memohon kenaikan gaji selepas tempoh berkenaan, tidak mendapat sebarang jawapan.

“Saya bersetuju pada awalnya dengan aturan yang CEO berikan kerana saya masih baru dalam kejurulatihan dan saya juga baru diberi tugas mengendalikan pasukan Liga Super sebagai ketua jurulatih buat kali pertama, jadi saya ikutkan saja.

“Saya harus jujur yang gaji saya tidak pun setara dengan gaji jurulatih pasukan Liga Super yang lain. Tapi memikirkan PDRM FC baru dinaikkan ke Liga Super dan bajet pasukan juga terhad, saya tidak kisah sangat soal gaji waktu itu kerana saya juga mahu dapatkan pengalaman dahulu.

“Ingatkan bila dah capai KPI, saya pun tulis surat mohon kenaikan gaji buat kali kedua selepas game ke-13 (kalahkan Selangor FC 1-0 pada 3 Jun) dan kami dah dapat 16 mata. Alih-alih tak dapat surat dinaikkan gaji, dapat pula surat direhatkan kerja,” keluhnya.

Bercakap mengenai KPI pula, Azzmi yang diberi julukan “Coach power” susulan kebangkitan pasukannya yang kini di tangga kelapan, berkata sasaran 16 mata bagi pusingan pertama liga itu bukan termaktub dalam kontrak dari awal musim lagi, sebaliknya sesuatu yang diadakan kemudian setelah PDRM FC menunjukkan graf peningkatan.

“KPI ini tiada dinyatakan dalam sebarang dokumen. Pengurusan hanya maklumkannya di hadapan semua jurulatih dan pemain selepas game ketujuh apabila kami mengharungi empat perlawanan tanpa bolos satu gol pun. Tiba-tiba keluar KPI.

“Tapi dalam hanya enam perlawanan selepas itu, kami masih mampu mengatasinya sehingga game ke-13 menentang Selangor FC yang juga perlawanan terakhir dalam pusingan pertama,” katanya.

WhatsApp Image 2023-06-21 at 22.24.39 (1)

The Cops bersedia menghadapi perlawanan seterusnya.Facebook/ PDRM FC

Sama ada ia satu ketidakadilan mahupun penganiayaan kerana dia direhatkan tanpa sebarang alasan munasabah, Azzmi berkata dia reda dengan perancangan ALLAH yang pastinya lebih baik daripada perancangan manusia, yang tidak terpisah daripada nafsu, hasad dengki dan sifat pentingkan diri.

“Sebagai manusia biasa, saya rasa kecewa, sedih dan tak faham mengapa saya diperlakukan seperti ini.

“Tapi sebagai hamba, saya sangat reda dengan apa yang berlaku kerana pastinya ada hikmah di sebalik semua ini. ALLAH dah susun semua ni dengan sangat cantik.

“Saya boleh berlapang dada dan berasa puas hati setelah membawa pasukan sejauh ini. Cuma saya harapkan kesudahannya PDRM FC akan berlaku adil kerana saya juga ada keluarga yang hendak ditanggung,” katanya.

Dalam tempoh kira-kira enam bulan mengendalikan pasukan, Azzmi berterima kasih kepada pemain- pemain yang menyokong corak latihan dan perancangannya dalam setiap perlawanan.

“Saya rasa dihargai oleh pasukan... maksud saya oleh semua penolong jurulatih dan semua pemain, baik yang asing mahupun tempatan.

“Benarlah tiada individu yang lebih besar daripada pasukan PDRM itu sendiri, baik saya sebagai jurulatih mahupun pengurusan pasukan yang ada amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

“Saya dah bawa team separuh jalan dengan sebaik-baik yang saya mampu. Jurulatih boleh datang dan pergi tapi pasukan hendaklah dipertahankan.

“Saya hanya berharap dan berdoa pasukan ini akan meneruskan kerja baik mereka untuk separuh perjalanan liga lagi.”

PDRM FC akan diuji tanpa Azzmi di petak teknikal di tepi padang dalam perlawanan pertama mereka ketika berkunjung ke Stadium Perak, Ipoh, Jumaat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram