SELEPAS memulakan kempen Liga Super dengan langkah kiri, Kuala Lumpur (KL) City FC kini sekali lagi mengejutkan arena bola sepak tanah air.
Hal tersebut berikutan kemaraan bergaya pasukan Lembah Klang itu ke peringkat separuh akhir Piala FA selepas mengatasi Imigresen FC dan Sabah FC dalam kejohanan berkenaan.
Kejayaan berkenaan pastinya mengharumkan nama KL City FC yang pernah mencipta nama ketika menjulang Piala Malaysia 2021 selepas menewaskan Johor Darul Takzim (JDT).
Kini, di bawah kendalian Bojan Hodak, skuad Warga Kota semestinya berharap untuk menambah sebuah lagi trofi dalam koleksi kejuaraan, sekali gus mengukuhkan nama mereka sebagai pasukan terbaik tanah air.
Namun, tugasan tersebut semestinya tidak mudah memandangkan mereka perlu berdepan Terengganu FC yang turut membuat kejutan apabila mencapai peringkat berkenaan.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertembung menyaksikan mereka seri tanpa jaringan. — Facebook/Terengganu FC
Mereka yang kini berada di tangga ketujuh Liga Super mencatatkan rekod kurang konsisten dengan meraih dua kemenangan, dua kekalahan dan satu keputusan seri dalam lima perlawanan terakhir.
Bagaimanapun, situasi tersebut tidak menceritakan keadaan sebenar skuad Sang Penyu memandangkan kelab Pantai Timur itu sudah menemui rentak di bawah bimbingan Tomislav Steinbruckner.
Jadi, pertembungan separuh akhir antara Terengganu FC dan KL City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Ahad semestinya menarik perhatian ramai.
Perasaan terbabit juga dikongsikan Bojan yang berkata, pasukannya akan mengambil pendekatan berbeza dalam pertembungan tersebut untuk menghidupkan peluang mereka ke peringkat akhir.
"Ya, kami melihat untuk menang perlawanan itu dan kami pastinya akan memilih untuk bersabar kerana ia hanyalah aksi tanpa timbal balik, jadi saya percaya lebih banyak pasukan tidak akan mensia-siakannya.
Akram sudah tidak diturunkan untuk beberapa minggu akibat masalah kecergasan. — Facebook/Kuala Lumpur City
"Tetapi, ada beberapa pemain kami yang baru sahaja sembuh daripada kecederaan dan ada juga yang baru sahaja sertai kami. Namun, saya juga percaya bahawa perlawanan ini akan menjadi lebih baik berbanding yang sebelum ini," katanya kepada Majoriti.
Kali terakhir Terengganu FC menerima kunjungan skuad Warga Kota adalah pada 5 Mac lalu yang menyaksikan kedua-dua kelab terikat tanpa sebarang jaringan.
Sebelum ini, kedua-dua pasukan pernah bertemu di peringkat kalah mati Piala Malaysia 2022 dengan skuad Sang Penyu layak ke separuh akhir.
Jadi, pertembungan berkenaan sememangnya tidak asing dengan penyokong terus mengharapkan agar aksi terbaik dapat dipamerkan kesemua pemain di atas padang.
Dalam masa sama, jurulatih kelahiran Croatia itu turut berkongsi bahawa dua pemain, Akram Mahinan dan Kevin Ray Mendoza berkemungkinan akan diturunkan dalam pertembungan berkenaan.
"Ya, Akram dan Kevin sudah pulang dalam sesi latihan bersama skuad. Jadi, saya hanya akan menilai sama ada mereka sesuai untuk diturunkan dan jika mereka masih belum berada di tahap 100 peratus, mereka tidak akan bermain," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram