'Yusri suntik semangat baharu buat Perak FC', Shivan optimis tiga mata penuh lawan PDRM FC


  • Podium
  • Jumaat, 23 Jun 2023

Shivan merupakan tonggak utama pasukan Perak musim ini. — Facebook/Perak FC

TONGGAK pertahanan Perak FC, Shivan Pillay menganggap perlawanan menentang PDRM FC di Stadium Ipoh, Perak pada Jumaat sebagai satu cabaran yang tidak boleh dipandang rendah.

Ketiadaan ketua jurulatih Sang Saka Biru, Azzmi Aziz bukan satu alasan untuk Shivan menidakkan kekuatan pasukan lawannya yang berjaya mengejutkan Sabah FC dan Selangor FC baru-baru ini.

Perak yang kini keciciran 10 mata dengan PDRM kini giat menjalani latihan bersama Ketua Jurulatih sementara, Yusri Che Lah selepas ketiadaan Datuk Lim Teong Kim.

Shivan menyatakan bahawa Yusri berjaya menyuntik persefahaman dan semangat baharu di kalangan pemain untuk mereka bangkit memperkemaskan kedudukan dalam Liga Super 2023.

Shivan musim ini menyertai Perak selepas PJ City dibubarkan. Youtube/Perak FC

“Taktikal yang disampaikan oleh Yusri telah difahami dengan baik dan kami melakukan persiapan yang rapi untuk perlawanan dengan PDRM.

“Bagi saya, jika kami berjaya menang tanpa bolos dengan skuad Sang Saka Biru itu satu pencapaian yang bagus.

“Kita juga mengharapkan tiga mata penuh untuk menaikkan kedudukan Perak dalam liga.

“Walaupun tahun ini ramai pemain-pemain baharu, namun pasukan ini sedikit demi sedikit menampakkan peningkatan,” katanya kepada MFL.

Ini merupakan perlawanan ketiga buat Yusri selepas tewas dua aksi terakhir di tangan Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC sebelum liga berehat bagi memberikan laluan untuk FIFA 'match day'. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram