'Perang' pengurusan, penyokong TBG, Khalid Jamlus harap 2 pihak berdamai cari solusi


  • Podium
  • Selasa, 13 Jun 2023

Pengurusan Perak FC sebelum ini termasuk Bobie Farid pernah mengadakan pertemuan dengan penyokong. — Facebook/Perak FC

MASALAH prestasi yang melanda Perak FC kini bukan hanya memberi kesan kepada carta kedudukan liga, malah mengeruhkan hubungan antara sebahagian penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) dan pihak pengurusan.

Buktinya hubungan antara penyokong Perak dengan pihak pengurusan khususnya Ketua Pegawai Eksklusif (CEO) Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin dilihat agak dingin apabila mereka berbalas-balas entri berbaur sindiran di laman Facebook.

Perkara itu bermula apabila laman penyokong Perak FC, Seladang Fan Club (SFC) mencadangkan agar pasukan Utara tanah air itu beraksi di saingan Liga M3 berikutan mereka mendakwa pihak pengurusan XOX Berhad ingin melakukan penjimatan kos.

Selepas hantaran tersebut dimuat naik, Bobie Farid memberi respons dengan mencabar laman penyokong itu untuk membuat pasukan sendiri dan hanya mengganggap ia adalah tuduhan sekadar hiburan untuk menceriakan peminat lain.

Perbalahan antara kedua-dua pihak itu diteruskan apabila SFC mendakwa individu tertinggi dalam pengurusan TBG tersebut seakan-akan koyak dengan kenyataan mereka sehingga menyekat laman penyokong itu di Facebook.

pergaduhan perak

Tangkap layar hantaran SFC dan Bobie Farid.

“Cakap nak bagi meriah tapi block. Tak koyak kan? Pertanyaan sahaja bawah ini. Pendapat masing-masing. Kelab milik bos, buat apa sahaja bos rasa betul. Ada perlawanan kami turun, itu sahaja,” tulis laman penyokong itu.

Tampil memberi solusi kepada isu antara penyokong dan pengurusan Perak FC itu, bekas penyerang skuad Perak FA, Khalid Jamlus mencadangkan agar kedua-dua pihak mengadakan satu perjumpaan.

Menurutnya, perjumpaan secara bersemuka boleh menjadi medium untuk menyelesaikan perbalahan tersebut, di samping menjawab segala persoalan penyokong mengenai Perak FC.

“Bagi saya kalau ada perbalahan dengan fans, aturlah satu perjumpaan menceritakan perjalanan Perak FC dan mencari solusi-solusi yang lebih baik. Jika mereka (penyokong nak hadiri, akan ada perdebatan di situ. Kena ada pengawallah untuk mengawal, jangan over limit perdebatan itu.

“Kadang-kadang penyokong hanya tahu kemenangan tapi hakikatnya management ada rancangan nak buat ke arah lebih baik. Jika diikutkan tak semua management akan ceritakan.

“Tanpa penyokong, siapa pemain. tanpa pemain, siapa management. Semua kena berada pada landasan betul. Cari alternatif yang lebih baik untuk selesaikan isu ini,” katanya kepada Majoriti.

KJ

Khalid memberi nasihat agar kedua-dua pihak berjumpa secara bersemuka untuk menyelesaikan perbalahan itu. — Bernama

Tambahnya lagi, antara alternatif yang boleh dilakukan pihak pengurusan adalah dengan mengeluarkan artikel bagi sebagai perkongsian dan menjadi ruang untuk menjawab persoalan penyokong.

Malah, menurut bekas pemain kebangsaan itu juga, artikel yang dikeluarkan sendiri oleh pengurusan Perak FC juga boleh menjadi medium untuk menyebarkan info mengenai status terkini skuad Seladang.

“Mungkin pihak pengurusan akan keluarkan artikel untuk buat penyokong baca perkara itu. Untuk sebarkan info-info. Itu pendekatan yang terbaik.

“Setahu saya dalam dunia bola sepak ini, penyokong hanya nak tengok pasukan menang. Mereka bukan nak tahu apa masalah management,” kongsinya.

Perak FC yang kini menghuni tangga ke-11 Liga Super dengan mencatatkan sembilan kekalahan dalam 14 perlawanan membuatkan penyokong semakin tidak senang duduk sehingga pelbagai isu mula dipersoalkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram