PEMERGIAN bek tengah kebangsaan Filipina, Carli de Murga dari Kelantan FC memberi satu kejutan buat penyokong kelab Pantai Timur tersebut.
Walaupun gagal memberi sebarang sumbangan terhadap benteng pertahanan pasukan, kehadirannya sedikit memberi kestabilan buat pasukan bergelut itu.
Namun, selepas dikhabarkan kebajikan mereka terabai setelah beberapa bulan, pemain berkenaan akhirnya memilih untuk mengambil haluan sendiri bersama Christian Rontini dan Shafiq Shaharudin.
Tidak lama selepas itu, muncul pelbagai khabar angin yang mengatakan bekas kapten Terengganu FC tersebut akan disambar sebuah kelab Liga Super.
Skuad Sang Penyu menjadi salah satu destinasi yang disebut-sebut memandangkan de Murga pernah memberi satu sumbangan penting buat pasukan Pantai Timur berkenaan.
Bagaimanapun, hasrat tersebut seperti tidak akan kesampaian apabila dia sudah memilih untuk menyertai kelab Indonesia, PS Barito Putera.
Konate (kiri) mengesahkan kepulangannya sebagai pemain import baharu Barito Putera. — Facebook/PS Barito Putera
Menurut informasi yang diperoleh, pemain dengan 49 kaps antarabangsa itu sah menjadi milik pasukan tersebut pada awal bulan lalu.
Tetapi, perkara itu mula tersebar sehingga diketahui penyokong bola sepak tempatan apabila PS Barito Putera mengumumkan kehadiran seorang lagi bekas pemain Liga Super, Makan Konate.
Pemain tengah kelahiran Mali itu sebelum ini pernah menyertai T-Team dan Terengganu FC, namun meninggalkan skuad Sang Penyu sebelum kehadiran De Murga.
Sebelum ini, Konate terikat dengan sebuah lagi kelab Indonesia, RANS FC yang mana dia berjaya menjaringkan lapan gol serta merekodkan tiga bantuan jaringan dalam 33 penampilan.
Kehadiran pemain berusia 31 tahun itu dengan PS Barito Putera juga mengesahkan bahawa dia akan sekali lagi bekerjasama dengan pasukan berkenaan selepas pernah menyarung jersi kelab berkenaan pada 2013.
Renan sedang mencipta nama di Liga 1 Indonesia. — Agensi
Tidak cukup dengan itu, kehadiran kedua-dua bekas pemain Liga Super itu menyaksikan mereka akan menabur bakti bersama Renan Alves.
Pemain yang pernah menjadi tonggak utama Kedah Darul Aman (KDA) FC tersebut sah menyertai pasukan berpangkalan di Kalimantan, Indonesia itu pada Jun 2022.
Setakat semusim bersama PS Barito Putera, Renan hanya tidak diturunkan dalam dua aksi Liga 1 Indonesia 2022, sekali gus menceritakan mengenai kepentingan dan sumbangannya.
Bagaimanapun, ia masih tidak boleh menyelamatkan pasukan itu daripada mengalami sebuah musim yang mengecewakan apabila mereka menduduki tangga ke-15.
Gabungan antara ketiga-tiga pemain import berkenaan pastinya memberi keterujaan buat penyokong pasukan berkenaan yang mula mengharapkan satu tahun yang lebih baik selepas ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram