Azzmi Aziz direhatkan: PDRM FC dari ‘giantkiller’ ke ‘coach killer’


  • Podium
  • Selasa, 20 Jun 2023

Azzmi meletakkan namanya sebagai salah seorang jurulatih tempatan elit dalam Liga Super musim ini. — Facebook/PDRM FC

PDRM FC, yang tidak sunyi daripada mencetuskan kejutan musim ini, membuat kejutan terbesar dengan merehatkan ketua jurulatihnya, Azzmi Aziz, berkuat kuasa pada Isnin.

Tiada pengumuman rasmi, tiada juga alasan diberi melainkan ia didakwa sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan semula pasukan – kini di tangga kelapan liga selepas menang enam, satu seri dan tujuh kalah untuk menghimpun 19 mata daripada 14 perlawanan.

Difahamkan, jurulatih berusia 48 tahun itu tidak lagi mengendalikan latihan pasukan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dengan tugasnya diambil alih oleh penolong ketua jurulatih, Eddy Gapil.

Latihan pasukan pada petang Isnin, bagaimanapun, tidak diteruskan sejurus Azzmi memaklumkan kepada pasukan mengenai keputusan pengurusan PDRM FC merehatkannya serta-merta.

Malah, keputusan itu dikhabarkan mengocak keharmonian pasukan yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak pengurusan dalam pada mereka sedang melakukan persiapan untuk berkunjung ke Stadium Perak, Ipoh bagi menghadapi skuad The Bos Gaurus pada 23 Jun.

351339469_3571401069851320_3443746173877401491_n

PDRM FC meraikan kejayaan menumbangkan Selangor menerusi jaringan tunggal Bruno Suzuki. — Facebook/PDRM FC

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku pengendali liga dan ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Stuart Ramalingam, turut sudah dimaklumkan mengenai status jurulatih itu.

Azzmi, yang dilantik Januari lalu, semakin dihormati selepas kejayaan PDRM FC bimbingannya melakar dua kemenangan mengejutkan – masing-masing 1-0 ke atas Selangor FC pada 3 Jun dan Sabah FC pada 8 Jun.

Menerapkan pendekatan bertahan secara berdisiplin dan bergantung kepada serangan balas pantas, keupayaan skuad The Cops itu bangkit daripada lima kekalahan berturut-turut sejak kemenangan 1-0 ke atas Kuching City FC pada 1 April lalu, turut memberikannya julukan 'coach power'.

Skuad PDRM FC yang dibentuk dengan bajet kecil tapi bercita-cita besar – dengan hanya enam pemain import daripada kuota sembilan yang dibenarkan – juga digelar pasukan giantkiller.

Tiga lagi kemenangan yang diraih PDRM FC sepanjang dia mengendalikan pasukan ialah ketika menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-0 di tempat lawan pada 1 Mac lalu, Kelantan United 2-0 (18 Mac) dan Kelantan FC 4-1 (23 Mei).

352559701_209859368132533_202141150784349363_n

Jaringan Nabil Ahmad Latpi memastikan skuad Sang Saka Biru mencatatkan kemenangan ke atas Sabah FC. Facebook/PDRM FC

Di samping itu, The Cops adalah satu-satunya pasukan yang mampu menyekat pendahulu liga, Johor Darul Takzim (JDT), untuk berpuas hati hanya dengan kemenangan 1-0 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 19 April.

Turut boleh dibanggakannya ialah PDRM tidak dibolosi sehingga enam perlawanan.

Azzmi adalah jurulatih kelima yang disisihkan musim ini selepas Tomas Trucha (Kelantan United), Chong Yee Fatt (Penang FC), Choi Moon-sik (Kelantan FC) dan Datuk Lim Teong Kim (Perak FC). Frank Bernhardt juga dilaporkan menanti masa dikenakan tindakan serupa oleh Kelantan FC.

Namun, berbanding jurulatih berkenaan yang kesemuanya diketepikan berkaitan kemerosotan prestasi pasukan kecuali Yee Fatt atas masalah kesihatan, keputusan merehatkan Azzmi harus mengundang persoalan besar.

Lebih-lebih lagi, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak 15 mata yang ditetapkan pengurusan buat PDRM FC dalam pusingan pertama liga, sudah dapat diatasinya.

Hanya pengurusan PDRM FC yang diketuai oleh ketua pegawai eksekutifnya, Mohamad Hafiz Zainal Abidin, yang boleh menawarkan jawapan.

Difahamkan, Azzmi juga sudah menghubungi MFL untuk mendapatkan panduan selanjutnya di samping mendapatkan nasihat perundangan mengenai hak mengikut terma kontrak setahunnya yang akan berakhir hujung tahun ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram