'Lepas Liverpool, Perak menunggu', bintang Argentina dapat hadiah dari TBG


  • Podium
  • Isnin, 19 Jun 2023

Mac Allister antara pemain yang dibawa Argentina bagi aksi persahabatan menentang Indonesia. — Instagram/MacAllister

SELEPAS beberapa bulan menunggu, impian penyokong Indonesia untuk menyaksikan skuad Garuda menentang juara Piala Dunia 2022, Argentina menjadi kenyataan dengan perlawanan persahabatan tersebut sedang berlangsung pada pukul 8:30 malam, Isnin.

Walaupun tanpa kehadiran tiga tonggak utama seperti Lionel Messi, Angel Di Maria, dan Nicolas Otamendi namun pasukan dari Amerika Selatan itu tetap menurunkan barisan pemain yang hebat.

Antara yang mencuri tumpuan ialah penjaga gol Aston Villa, Emiliano Martinez; bintang muda Manchester City, Julian Alvarez; pemain muda terbaik Piala Dunia, Enzo Fernandes dan tonggak baharu Liverpool, Alexis Mac Allister.

WhatsApp Image 2023-06-19 at 21.43.28

Mac Allister pemain baharu Liverpool musim 2023/2024. — Instagram/MacAllister

Bukan hanya penyokong Indonesia yang teruja dengan aksi persahabatan tersebut, malah peminat bola sepak negara termasuk pemain Liga Super juga menantikan perlawanan dengan juara Copa America tersebut.

Antara pemain Liga Super yang mencuri tumpuan menantikan perlawanan tersebut ialah kapten Perak FC, Luciano Guaycochea.

Salah satu faktor Guaycochea menantikan perlawanan tersebut berikutan ingin menyaksikan permainan sepupunya Mac Allister sehingga difahamkan pemain berusia 31 tahun sanggup terbang ke Indonesia.

Ketika lawatannya ke negara jiran itu juga, tonggak tengah The Bos Gaurus (TBG) itu dilihat memberi jersi Perak FC kepada bintang baharu Liverpool tersebut.

WhatsApp Image 2023-06-19 at 21.43.29-2

Tangkap layar hantaran dari Guaycochea.

Dalam perkongsiannya di laman Instagram, Guaycochea juga sempat mengusik Mac Allister dengan mengajak pemain berusia 24 tahun itu untuk beraksi bersama Perak FC selepas selesai menabur bakti dengan skuad The Reds.

After Liverpool... Perak FC will be waiting for you primo (Selepas Liverpool, Perak FC akan menanti mu sepupu),” tulisnya sambil memuat naik gambar Mac Allister memegang jersi TBG.

Sebelum ini, Guaycochea memberikan petunjuk besar mengenai perpindahan sepupunya itu dari Brighton ke Liverpool dalam satu temu bual bersama media tempatan pada Jun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram