WALAUPUN bintang bola sepak dunia, Lionel Messi tidak bersama-sama beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Indonesia namun pasukannya itu tetap menampilkan aksi cemerlang menundukkan tuan rumah dengan keputusan 2-0 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada Isnin.
Dalam perlawanan persahabatan tersebut, pasukan Indonesia menggunakan taktik 'parkir bas' agar pihak lawan sukar untuk merobek kubu mereka.
Namun, juara dunia, Argentina tidak terpengaruh dengan taktikal tersebut malah mampu membolosi dua jaringan gol menerusi Leandro Paredes pada minit ke-38 dan Giovani Lo Celso minit ke-55.
Di sebalik aksi persahabatan yang begitu hebat diperkatakan di negara jiran, tular satu video memaparkan seorang wanita seolah-olah sedang melakukan ritual sebelum perlawanan itu bermula.
Oleh itu, ramai penyokong memberikan pendapat mereka mengenai tindakan wanita tersebut iaitu sama ada ingin melawan hukum alam atau memanggil Leonel Messi agar turut serta dalam perlawanan tersebut.
Menerusi rakaman video itu, wanita tersebut sedang berjalan di kawasan tepi padang sambil memegang mangkuk altar kayu.
Rata-rata pengguna media sosial memberikan komen terhadap tindakan 'bomoh' tersebut.
"Sesaat sebelum pertandingan, ritual memanggil abang Messi agar turun dari langit," kata @Been4q59.
"Ritual ingin memanggil abang Messi dari langit malah yang turun adalah hujan," kata @90_D_hell.
"Mulai lagi bomoh beraksi, adui parah, kenapa kesyirikan semakin ditampakkan ya," kata @MatmsteenEndye. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram