Cemerlang dalam aksi bersama The Azkals, import Filipina harap kekal bersama KUFC


  • Podium
  • Sabtu, 17 Jun 2023

Barisan pemain Filipina yang meraikan kemenangan dalam aksi persahabatan antarabangsa. — Instagram/ mrporteria

PENYERANG Kelantan United FC (KUFC), Jose Elmer Porteria atau dikenali sebagai OJ Porteria menampilkan aksi cemerlang ketika menentang seteru terdekat, Kelantan FC dengan kemenangan 4-1 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV Kota Bharu, Kelantan dalam saingan Liga Super 2023.

Pemain kebangsaan Filipina yang menyertai Liga Malaysia (Liga-M) itu membantu KUFC mencatatkan kemenangan pertama dalam saingan Liga Super apabila menundukkan The Red Warriors (TRW).

Dalam perlawanan tersebut, pemain berketinggian 1.70 meter itu membuktikan ketajamannya dengan mencetak dua gol untuk membantu KUFC berada di hadapan TRW.

Walaupun bukan bertindak selaku penyerang utama, Porteria menjadi pemain yang paling aktif di hadapan gol menerusi kelincahan serta kreativiti dalam membuka peluang buat Sang Kijang Hijau mendapatkan jaringan.

WhatsApp Image 2023-06-17 at 13.07.44

Porteria bersama pasukan kebangsaan, Filipina meraikan kemenangan ke atas Nepal. — Instagram/ mrporteria

Namun begitu, menjelang perlawanan Piala Asia 2023, terdapat beberapa pemain import yang bermain di Liga-M turut terlibat untuk membantu pasukan kebangsaan mereka.

Bukan sahaja cemerlang bersama skuad KUFC, namun, pemain berusia 29 tahun itu turut membantu The Azkals memenangi perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Memorial Rizal pada Khamis.

Pasukan Filipina setakat berpuas hati apabila berjaya menewaskan skuad Nepal dengan keputusan 1-0 yang dikatakan sebagai menang nipis.

Walaupun Porteria tidak menjaringkan sebarang gol dalam perlawanan tersebut, namun, dia membantu dalam memberikan tekanan dan serangan kepada pihak lawan.

Untuk rekod, Porteria mencetak empat gol dan tiga jaringan bantuan dengan sebanyak 13 penampilan bersama Sang Kijang Hijau dalam saingan Liga Super 2023 berlangsung.

Pasukan Filipina bakal menentang Chinese Taipei untuk perlawanan seterusnya di venue yang sama pada 19 Jun nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram