'Mungkin mereka sakit tekak', Junior Eldstal pertahankan isu pemain warisan, naturalisasi tidak nyanyi lagu Negaraku


  • Podium
  • Ahad, 18 Jun 2023

Sesi latihan barisan pemain skuad kebangsaan dalam menghadapi pasukan Papua New Guinea. — Facebook/ FAM

KESILAPAN yang dilakukan oleh penjaga gol negara, Syihan Hazmi adalah satu kecuaian yang tidak boleh berulang apabila hanya membiarkan gawang miliknya terbuka luas untuk membenarkan pelawat menjaringkan gol pendahuluan.

Namun begitu, akibat daripada kelekaan Kepulauan Solomon yang meraikan kegembiraan mereka terlalu awal akhirnya memakan diri apabila pasukan Harimau Malaya tidak membiarkan pihak lawan merobek kubu pertahanan negara.

Walaupun pelawat membuka tirai jaringan pada awal babak pertama namun skuad kebangsaan gagah menunjukkan taring dengan membalas serangan dan mencetak gol menerusi pemain naturalisasi, Paulo Josue pada minit ke-40 dan turut disumbangkan oleh Arif Aiman, Safawi Rasid dan Lee Tuck.

Pelawat turut memberikan tekanan kepada tuan rumah namun tidak mampu menahan semangat Harimau Malaya yang dahagakan kemenangan yang akhirnya berjaya menewaskan Kepulauan Solomon dengan keputusan 4-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu pada Rabu.

WhatsApp Image 2023-06-18 at 17.26.15

Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Junior Eldstal. — Instagram/ Flash Sukan

Namun begitu, pastinya dalam kejayaan tersebut terdapat suara-suara sumbang yang menjadi bualan hangat di media sosial apabila ada yang kurang berpuas hati dengan sikap segelintir pemain naturalisasi dan warisan yang dilihat kurang patriotik.

Hal ini kerana, adalah menjadi satu keperluan dalam dunia bola sepak, kedua-dua pasukan akan menyanyikan lagu kebangsaan masing-masing terlebih dahulu sebelum pengadil bertugas meniup wisel untuk memulakan perlawanan tersebut.

Rentetan itu, ada segelintir penyokong setia skuad kebangsaan nampaknya kurang berpuas hati dengan beberapa pemain naturalisasi dan warisan yang dilihat tidak menyanyikan lagu Negaraku apabila kamera merakam wajah mereka.

Oleh itu, dalam satu temu bual bersama pemain pertahanan skuad Harimau Malaya, Junior Eldstal tampil mempertahankan rakan sepasukannya yang kononnya tidak boleh menyanyikan lagu kebangsaan.

Pemain kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu mempersoal dakwaan berkenaan dan menyatakan barangkali ada kemungkinan lain yang penonton sendiri tidak tahu.

"Macam mana kau tahu dia tak boleh nyanyi (Negaraku), itu dalam televisyen, tapi mungkin suara dia sakit kah apa," katanya dalam rakaman interviu yang dimuat naik Flash Sukan.

Dalam masa sama, Junior yang cukup fasih berbahasa Melayu menganggap barisan pemain dan kejurulatihan kini cukup akrab sebagai satu keluarga.

Menurutnya skuad kendalian Kim Pan-gon ini berjaya membentuk ikatan dan keharmonian yang baik dan positif dalam pasukan.

Skuad kebangsaan bakal menentang pasukan Papua New Guinea di venue yang sama pada 20 Jun depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram