
INSIDEN penyokong menyerbu masuk ke padang mendapat perhatian warga maya ketika berlangsungnya perlawanan antara Indonesia dan Argentina yang diadakan di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta pada Isnin.
Ini kerana, kelihatan kelibat seorang lelaki meluru masuk ke padang untuk menghampiri para pemain Argentina selepas pengadil perlawanan meniup wisel sebagai tanda tamat permainan.
Aksi lelaki yang memakai jersi kombinasi pasukan Argentina dan Indonesia itu berjaya dirakam apabila dilihat berlari dari arah Zon 4 stadium GBK menuju ke tengah padang.
Sekitar aksi menarik barisan pemain Indonesia cuba mengawal ketat Argentina. — Instagram/ afaseleccion
Tindakannya itu membuatkan beberapa orang pengawal keselamatan yang mengenakan baju warna kuning mengejarnya.
Namun, lelaki tersebut dilihat berjaya menghampiri beberapa pemain Argentina antaranya ialah Alexandre Garnacho dan sempat merakam swafoto atau 'selfie'.
Tidak lama selepas itu, lelaki tersebut berjaya dikawal dan dibawa ke tepi padang.
Bukan itu sahaja, lelaki tersebut sempat melakukan aksi 'siu' bekas pemain Manchester United, Cristiano Ronaldo dan disambut baik oleh penyokong yang turut hadir menyaksikan perlawanan bersejarah tersebut.
Juara Piala Dunia 2023 itu berjaya menewaskan pasukan Indonesia dengan keputusan 2-0.
Argentina berhasil membolosi gawang Sang Garuda menerusi rembatan kencang Leandro Paredes dari luar kotak penalti pada minit ke-38.
Pasukan pelawat berjaya menambah jaringan pada minit ke-55 menerusi Cristian Romero. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram