Piala Malaysia: Kehilangan Zaquan beri impak kepada skuad Jang, Penang akur jumpa KL City


  • Podium
  • Isnin, 19 Jun 2023

Mengikut format, pusingan 16 terbaik, suku akhir dan separuh akhir Piala Malaysia musim ini akan dijalankan secara timbal balik bermula pada Ogos. — Facebook/MFL

BEK tengah berpengalaman Negeri Sembilan FC, Nasrullah Haniff Johan menganggap cabaran besar buat semua pemain khususnya dalam mengharungi saingan Piala Malaysia 2023 selepas mereka kehilangan kapten pasukan Zaquan Adha Abd Radzak yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan.

Diundi bertemu Kelantan United FC pada pusingan awal 16 pasukan, Nasrullah mengakui ketiadaan Zaquan memberikan impak besar kepada pasukan.

“Tapi kami akan sedaya upaya meneruskan perlawanan dengan baik tanpa beliau (Zaquan).

“Apa saja taktikal yang diterapkan oleh jurulatih kepada kami akan kami cuba aplikasikan dengan baik walaupun ketiadaan beliau amat besar buat pasukan kami.

“Kita sedar Piala Malaysia adalah saingan kalah mati jadi kita kena lebih bersiap sedia supaya dapat pergi lagi jauh,” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ketika hadir ke Majlis Undian Piala Malaysia 2023 di Studio Arena pada Khamis lalu.

WhatsApp Image 2023-06-19 at 20.27.16

Nasrullah tampil dalam 13 perlawanan Liga Super bersama skuad Jang pada musim ini. — Facebook/NSFC

Turut hadir pada majlis itu antaranya ialah Rafael Vitor, kapten pasukan Penang FC.

Ketika ditanya mengenai keputusan undian, Vitor jelas akur dengan percaturan di mana mereka akan bertemu dengan juara 2021, Kuala Lumpur City FC.

Walaupun Penang berjaya mencatatkan keputusan seri semasa perlawanan menentang Kuala Lumpur dalam Liga Super 2023, Vitor tetap tidak memandang rendah terhadap pasukan lawannya itu nanti.

WhatsApp Image 2023-06-19 at 20.27.15

Vitor menyumbangkan dua gol untuk Harimau Kumbang dalam saingan Liga Super musim ini. — Facebook/PenangFC

“Untuk Piala Malaysia ini, kami akan cuba lakukan yang terbaik kerana ada dua perlawanan iaitu di tempat sendiri dan tempat lawan.

“Kami juga akan memperkemas latihan dan kami mengikut langkah demi langkah. Bagaimanapun, perlawanan nanti akan ditempuh sebaik mungkin dan kami cuba memberikan aksi yang terbaik,” katanya.

Pertandingan Piala Malaysia 2023 akan bermula pada Ogos dan aksi perlawanan akhir dijangka berlangsung pada Disember. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram