KETUA jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon, memberikan amaran buat pemainnya agar memberikan aksi terbaik dalam perlawanan persahabatan antarabangsa tier 1 menentang Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu, pada Selasa.
Ini kerana setiap pemain perlu membuktikan bahawa mereka adalah yang terbaik dalam skuad kebangsaan atau bakal kehilangan tempat menuju ke saingan Piala Asia 2023 di Qatar awal tahun depan.
Peringatan itu mencerminkan bahawa pengendali dari Korea Selatan itu amat serius dalam membentuk skuad ampuh terutama melibatkan posisi tengah.
Dengan ketiadaan Natxo Insa kerana kecederaan, ia membuka peluang kepada pemain lain untuk membuktikan mereka mampu menjadi perancang terbaik di bahagian tengah Harimau Malaya.
"Terdapat banyak pilihan pemain tetapi ia bergantung kepada bagaimana cara kami bermain dan keperluannya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.
"Mana-mana pemain yang memenuhi keperluan kami dan memiliki perwatakan yang sesuai, kami akan memanggil mereka.
"Kami memiliki syarat yang amat jelas di setiap posisi dan harap-harap pemain dapat memahami apa perwatakan yang kami mahukan buat skuad kebangsaan Malaysia.
"Ia penting buat mana-mana posisi dan apabila kami memberikan mereka peluang untuk bermain dalam kesebelasan utama, mereka perlu memastikan bahawa mereka lebih baik berbanding pesaing lain di posisi berkenaan.
"Dengan persaingan seperti itu, tiada siapa boleh rasa selesa," katanya. — Stadium Astro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram