BAGI menghargai sokongan peminat e-Sukan yang menyokong perkembangan kejohanan eMFL sejak kebelakangan ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Gamesbond sekali lagi memperkenalkan anda dengan kejohanan eMFL Fans Cup musim kedua yang dibuat khas untuk menghargai semua peminat di seluruh negara.
Pertandingan ini mempunyai tiga pusingan kelayakan dan lapan pemain terbaik akan mara ke pusingan Grand Final yang bakal diadakan pada 25 Jun ini di AEON Tebrau, Johor.
Kejohanan ini bakal menggunakan mode FIFA Ultimate Team (FUT23) dan terbuka kepada semua pemain daripada Malaysia sahaja.
Menurut Pengasas Gamesbond, Suki Lee, tujuan utama eMFL Fans Cup musim kedua diperkenalkan adalah untuk menghargai peminat e-Sukan dan ia terbuka bagi semua warganegara Malaysia untuk sertai pertandingan itu.
"eMFL Fans Cup musim kedua adalah kejohanan FIFA23 anjuran PlayStation yang memberi lebih fokus kepada komuniti FIFA di Malaysia untuk mencuba bermain secara kompetitif di kejohanan ini.
"Kejohanan ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia.
"Lapan pemain akan berentap di pusingan Grand final yang akan dijadualkan pada 25 Jun nanti.
"Pusingan kelayakan terakhir akan dibuat secara offline di AEON Tebrau manakala dua lagi akan diadakan secara online," katanya kepada Majoriti.
Antara pusingan kelayakan yang perlu dilalui peserta eMFL Fans Cup musim kedua.
Ditanya apakah perbezaan musim pertama dengan kedua, Suki berkata, eMFL Fans Cup musim pertama banyak bermain secara online namun kini tidak lagi.
"Semasa musim pertama kejohanan ini diadakan 100 peratus online sahaja.
"Akan tetapi pada musim ini, pusingan Grand Final dan juga pusingan kelayakan ketiga akan diadakan secara offline di AEON Tebrau pada 24 hingga 25 Jun 2023.
"Kejohanan ini turut memberi peluang kepada komuniti FIFA di Malaysia untuk bersaing menentang pemain profesional," ujarnya.
Tarikh penting bagi menyertai eMFL Fans Cup musim kedua.
Menurut Suki, pertandingan ini adalah salah satu inisiatif MFL dan Gamesbond untuk menarik lebih lagi orang ramai kenal akan dunia e-Sukan tempatan.
"Ya sudah semestinya dengan pencapaian yang dipamerkan oleh pemain-pemain profesional di peringkat antarabangsa, kami yakin bahawa ada bakat yang terpendam di luar sana yang belum diberikan peluang untuk menyerlah.
eMFL Fans Cup musim kedua akan menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM10,000.
Juara akan membawa pulang hadiah sebanyak RM4,000, naib juara RM3,000, tempat ketiga dan keempat RM750 manakala tempat kelima hingga kelapan akan membawa pulang RM400. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram