TULAR sebuah gambar yang didakwa mirip William Jebor di Stadium Darul Makmur, Pahang baru-baru ini yang menguatkan lagi desas-desus perpindahan pemain itu ke dalam skuad bimbingan Fandi Ahmad.
Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang apabila Sri Pahang FC dikatakan bakal membawa masuk penyerang baharu bagi menggantikan Lucas Silva yang masih belum cergas sepenuhnya.
Pemain tersebut ialah penyerang kebangsaan Liberia, Jebor yang akan menjadi ejen bebas bermula 1 Julai nanti.
Jika perpindahan itu berlaku, ia akan menggembirakan salah seorang pemain import Tok Gajah, Kpah Sherman kerana pernah beraksi bersama dalam beberapa aksi penting buat Liberia seperti kelayakan Piala Afrika dan Piala Dunia.
Jebor pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Maghribi dengan 19 jaringan gol pada 2016/17 ketika mewakili Wydad Casablanca.
Pemain berusia 31 tahun ini sudah beraksi dalam tiga benua yang berbeza iaitu di Eropah, Afrika dan Asia.
Namun begitu, meskipun mempunyai pengalaman beraksi dalam 10 buah negara ia tidak boleh menghalang penyokong Sri Pahang daripada terus memikirkan status kecederaan dan corak permainan Jebor.
"Takut dua perlawanan dah cedera panjang, tahulah Sri Pahang kalau ambil pemain import guna YouTube," kata Fozi Poji.
"Jangan buat hal sudah, sebab pengurusan Sri Pahang ini jenis pandai ambil yang dah berkulat, selepas itu cedera, bayar gaji sahaja," jelas Azmi Jani.
"Setiap kali musim tukar pemain, setiap kali itulah cerita gajah boleh terbang," ujar Raf Fiq.
Individu yang dikatakan seperti Jebor kelihatan berada di Stadium Darul Makmur. — Facebook/Hogoh Pahang Hogoh
Umum mengetahui Sri Pahang kini tumpul di barisan serangan apabila Lucas Silva masih belum cergas sepenuhnya sejak tempoh pramusim awal tahun ini.
Dengan pengalaman dan status sebagai penyerang skuad kebangsaan Liberia, Jebor mungkin gandingan sesuai untuk bermain bersama Kpah Sherman di bahagian depan Sri Pahang FC.
Jebor pernah beraksi di pentas tertinggi Liga Portugal bersama Rio Ave FC pada 2014 sehingga 2017 sebelum memilih ke Arab Saudi.
Di Arab Saudi, Jebor mewakili Al-Nassr FC iaitu pasukan yang disertai bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo pada musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram