'Cita-cita saya,' bek kental sekali lagi berharap dapat sarung jersi Harimau Malaya


  • Podium
  • Isnin, 19 Jun 2023

Harimau Malaya terus mengharapkan sumbangan pemain naturalisasi ketika ini. — Facebook/FAM

TIDAK boleh dinafikan bahawa program naturalisasi yang diperkenalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2018 membawa pelbagai manfaat hari ini.

Selain berjaya menampilkan corak bola sepak yang lebih menarik, skuad Harimau Malaya juga dilihat berada di tahap lebih baik selepas layak secara merit ke Piala Asia 2023.

Sumbangan pemain-pemain seperti Paulo Josue, Endrick dos Santos dan Lee Tuck sememangnya sukar untuk dilupakan sejak hari pertama mereka menyarung jersi skuad kebangsaan.

Contohnya, Lee Tuck yang menerima status kewarganegaraan pada penghujung tahun lalu kerap menampilkan persembahan terbaik dengan tiga gol sudah dijaringkan dalam sembilan penampilan.

354047137_963398454733391_7775093001156696836_n

Lee Tuck merupakan antara pemain naturalisasi terbaik negara. Facebook/FAM

Program tersebut dilihat akan diteruskan demi pembangunan bola sepak negara dengan beberapa lagi pemain difahamkan akan dinaturalisasikan selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.

Penyerang Kuala Lumpur (KL) City FC, Romel Morales dan bek tengah Terengganu FC, Argzim Redzovic dikatakan sedang dalam proses permohonan selepas memenuhi syarat-syarat ditetapkan FAM.

Bagaimanapun, di sebalik nama-nama itu, terselit seorang pemain yang sudah berkali-kali menyatakan hasrat untuk menabur bakti bersama skuad kebangsaan.

Pemain pertahanan skuad Warga Kota, Giancarlo Gallifuoco sememangnya tidak asing dalam arena bola sepak negara selepas muncul sebagai antara bek tengah terbaik dalam Liga Super.

Sejak menyertai KL City FC pada 2021, pemain kelahiran Australia tersebut kerap memberikan aksi cemerlang, termasuk ketika aksi final Piala Malaysia pada tahun yang sama.

Namun, berdasarkan peraturan yang ditetapkan FIFA, hasrat pemain berusia 29 tahun tersebut seakan-akan sukar untuk direalisasikan memandangkan dia perlu menunggu sekurang-kurangnya dua tahun lagi.

FyG-3BsacAg4DhU

Giancarlo merupakan antara tonggak KL City FC sejak tiba pada 2021. Twitter/@giange94

Tetapi, hal itu tidak menghalang Giancarlo untuk terus menyatakan harapannya agar diberikan peluang beraksi buat skuad Harimau Malaya.

Dalam satu hantaran di Instagram Palatao Bola mengenai program naturalisasi, tonggak KL City FC itu sempat memberi komen yang menarik perhatian ramai pihak.

"Cita-cita saya, mimpi saya," katanya sambil menyertakan emoji Jalur Gemilang, sekali gus menceritakan mengenai rasa kasihnya buat Malaysia.

Sebelum ini, Giancarlo sudah beberapa kali memberikan kenyataan secara terbuka bahawa dia berhasrat untuk beraksi buat pasukan negara.

Setakat ini, pemain tinggi lampai itu hanya pernah beraksi buat skuad Bawah 23 Tahun Australia, namun tidak berpeluang bersama-sama pasukan negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram