Harimau Malaya bakal terima sentuhan pemain warisan tidak lama lagi


  • Podium
  • Sabtu, 17 Jun 2023

Pemain warisan, Richard dan Kobe bersedia menyarung jersi skuad kebangsaan.

PEMAIN warisan, Richard Chin dan Kobe Jae Chong bersedia untuk membuat penampilan sulung bersama skuad Harimau Malaya (HM).

Kedua pemain yang berpangkalan di England itu sedang melalui proses dokumentasi untuk menjadi warganegara Malaysia yang akan membolehkan mereka bermain untuk pasukan kebangsaan pada masa hadapan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mendedahkan semua proses sewajarnya boleh diselesaikan dalam tempoh satu atau dua bulan.

"KDN sedang memprosesnya," kata Hamidin selepas sesi Townhall bersama peminat di Hotel Raia di Terengganu pada Khamis.

Beraksi dengan Charlton Athletic, Richard, 20, membuat penampilan dalam Liga Inggeris apabila bermain selama 72 minit ketika mencatat keputusan seri 1-1 kelab itu dengan East Green di Stadium Valley di London pada 13 September lalu.

Richard merupakan pemain kacukan Malaysia-Seychelles yang menjadi pemain pertama berketurunan Malaysia beraksi dalam Liga Inggeris.

Pemain berketinggian 1.78 meter itu telah bersama Charlton sejak dia berusia enam tahun dan membuat penampilan sulung pasukan pertamanya pada 2021 apabila dia bermain menentang Leyton Orient dalam Piala EFL.

Kobe, 21, telah bermain untuk beberapa kelab Liga Inggeris dan kelab amatur sejak membuat penampilan sulung profesionalnya pada 2019.

Dia telah bermain untuk pasukan seperti Redditch, Banbury, Peterborough United, dan Telford United dan kelab terakhirnya ialah Nuneaton dan kini berstatus sebagai ejen bebas selain sedang mencari kelab.

Hamidin menegaskan FAM akan mengekalkan kualiti dan standard dalam pemilihan pemain naturalisasi.

“Mereka mesti mempunyai kelas dan standard, serta mampu menambah kemampuan pasukan kebangsaan,” kata Hamidin, yang turut memberi jaminan bahawa kedudukan pemain tempatan tidak akan terjejas dengan kehadiran ramai pemain naturalisasi dan warisan campuran.

Difahamkan, bek tengah Terengganu dari Montenegro Argzim Redzovic dan pemain tengah Colombia dari Kuala Lumpur, Romel Morales juga telah memohon untuk menjadi warganegara Malaysia selepas bermain selama lebih lima musim di Malaysia.

Ketika ini, Harimau Malaya dibarisi pemain naturalisasi seperti pemain tengah Paulo Josue, Lee Tuck dan Endrick Dos Santos.

Manakalan pemain warisan pula melibatkan pertahanan Matthew Davies, Daniel Ting, La'Vere Corbin Ong, dan Junior Eldstal; dan pemain tengah Nooa Laine, Stuart Wilkin dan Natxo Insa. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram